Terdesak kewangan sekalipun, jangan sehingga perjudi harga diri
BANGI – Sudah tiba masa semua pihak memikirkan solusi terbaik bagi mencantas segala platform yang boleh merosakkan anak-anak bangsa.
Demikian saranan Aktivis Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA), Ahmad Muntasir Aznan berhubung isu peningkatan jumlah mahasiswa di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari ‘sugar daddy’.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.
Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.
Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.
Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.
Sehubungan itu, sebelum keadaan menjadi lebih parah, Muntasir menggesa pihak berkuasa mengharamkan aplikasi ini.
“Seramai 12,705 mahsiswa telah terlibat dengan kancah ‘sugar baby’ ini.
“Kebanyakannya datang dengan alasan kesempitan kewangan untuk membayar yuran pengajian, sewa rumah dan sebagainya.
“Jika tidak dicantas platform sebegini secepat mungkin, lambat laun ia akan menjadi satu industri yang mengajak anak muda kita menjana pendapatan dengan menjual harga diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung platform pelacuran anak muda secara atas talian ini.
“Sedih dan kecewa apabila statistik yang dikeluarkan telah menyatakan bahawa golongan mahasiswa antara yang paling ramai sertai platform pelacuran ni.
“Terdesak macam mana pun, jangan perjudikan harga diri,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment