TELUK INTAN: Kerja baik pulih laluan A149 Jalan Chikus menghubungkan Attaduri dan Chikus di sini yang rebak akibat limpahan air Sungai Batang Padang dalam kejadian banjir pada 4 Januari lalu dijangka dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, serahan tapak projek kepada syarikat konsesi telah dilakukan semalam dan kerja-kerja baik pulih jalan tersebut telah dimulakan hari ini.
Menurutnya, tempoh baik pulih laluan itu akan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.045 juta bagi kerja-kerja baik pulih ini. Kita yakin sebelum Hari Raya Aidilfitri, jalan ini boleh digunakan oleh pengguna untuk ke Teluk Intan dan Changkat Jong.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pelaksanaan kerja-kerja yang telah dimulakan hari ini dan kita akan terus memantau dari semasa ke semasa projek ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke lokasi berkenaan di sini hari ini.
Hadir sama pada lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Zulkipli Nasri.
Sementara itu, Mohd. Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM415,000 bagi kerja-kerja membaiki ban tali air Chikus.
“Kedua-dua projek baik pulih tersebut akan berjalan secara serentak sehingga siap mengikut spesifikasi ditetapkan dengan jumlah keseluruhan kos RM2.46 juta,” katanya.
Pada 5 Januari lalu, Laluan A149 Jalan Chikus menghubungkan Attaduri dan Chikus terpaksa ditutup berikutan kerosakan jalan yang berlaku akibat arus deras dan limpahan air dari Sungai Batang Padang.
Sementara itu, Mohd. Zolkafly berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji sama ada perkhidmatan bas Rapid Kamunting yang akan tamat pada Mac depan diteruskan atau sebaliknya.
“Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan melihat keperluan tersebut sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment