JOHOR BAHRU: Impian pasangan suami isteri untuk menjalankan perniagaan menjahit serta menjual makanan sebagai sumber pendapatan utama bagi membesarkan tujuh anak bagaikan tidak kesampaian apabila apabila kedua-dua mereka diuji masalah kesihatan yang menyebabkan hasrat itu tergendala.
Mohd. Sayeed Haron, 56, mengalami sakit jantung dan darah tinggi manakala isterinya, Rahimah Sabtu, 46, menghidap kanser payudara tahap tiga sejak November tahun lalu.
Mohd. Sayeed yang sudah tiga bulan tidak bekerja bertambah runsing kerana memerlukan kira-kira RM1,200 sebulan bagi menampung perbelanjaan anak-anak berusia 1 hingga 18 tahun, bil utiliti serta komitmen lain yang perlu dijelaskan.
Katanya, buat masa ini, perbelanjaan harian mereka sekeluarga hanya bergantung kepada duit simpanan peribadi serta simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala isterinya adalah suri rumah sepenuh masa.
Jelasnya, dia tidak ada sumber pendapatan lain setelah mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pemandu lori selama lima tahun pada September tahun lalu atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Saya terpaksa berhenti kerja kerana faktor kesihatan yang mendesak dan tidak lagi boleh menjalankan kerja berat. Pernah sekali, saya hampir pitam ketika sedang memandu lori membuat penghantaran, atas sebab itu saya buat keputusan berhenti kerja.
“Selepas berhenti kerja, saya dan isteri bercadang untuk buka bisnes mengambil upah menjahit serta menjual menu sarapan sebagai mata pencarian. Namun, nak dijadikan cerita, isteri saya disahkan menghidap kanser payudara tidak lama selepas itu dan menjalani pembedahan pada bulan November lalu.
“Dalam masa sama, masalah jantung bengkak saya pula menjadi-jadi sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Pernah juga saya dan isteri masuk wad serentak dan terpaksa meminta tolong adik ipar untuk menjaga anak-anak di rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, Tampoi di sini hari ini.
Mohd. Sayeed yang merupakan bekas pekerja Utusan Melayu itu belum pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan melainkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) baru-baru ini.
Katanya, dia dalam proses memohon bantuan pembiayaan hospital dan perubatan di bawah skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (MySalam) buat isterinya yang perlu menjalani kimoterapi pada bulan Mac depan.
“Kalau hendak diikutkan, buat masa sekarang perniagaan kami sudah mula beroperasi mengikut perancangan kerana barangan kelengkapan dan peralatan mesin jahit, tempat menjahit dan lain-lain sudah disediakan namun kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang tentukan dan kami reda dengan ketentuan ini,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Mohd. Sayeed di talian 010-7983536 atau terus membuat sumbangan ke akaun Public Bank miliknya bernombor 6813222015. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment