Friday, January 1, 2021

SPPP beri jaminan nasib peniaga di Pangkalan Tun Uda terbela

Pengerusi Suruhanjaya Pulau Pinang Tan Teik Cheng (kanan) berkata, perkhidmatan 
bot laju membawa penumpang pejalan kaki yang beroperasi sejak 6.30 pagi tadi 
berjalan lancar dan dijangka mampu mencapai 10,000 orang sehingga 11 malam 
nanti. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan memastikan nasib semua peniaga di Pangkalan Raja Tun Uda terbela selepas perpindahan operasi feri ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham (SPCT).

Pengerusinya Tan Teik Cheng berkata, pihaknya berjumpa dengan semua peniaga yang terkesan dengan perpindahan operasi feri untuk pejalan kaki dan jaminan diberikan kepada mereka.

“Saya memberi jaminan kepada mereka (peniaga) bahawa kita dalam perancangan untuk memindahkan mereka buat sementara waktu ke SPCT supaya mereka boleh teruskan perniagaan.

“Kami memerlukan masa lebih kurang dua minggu untuk proses pengubahsuaian di SPCT sebelum mereka dibenarkan untuk berniaga di situ,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama operasi bot laju Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata, SPPP juga berhasrat untuk tidak mengenakan sewa buat sementara waktu kepada peniaga yang akan berpindah dari Pangkalan Raja Tun Uda ke SPCT.

Tan berkata, setakat ini hampir 10 gerai di Pangkalan Raja Tun Uda terkesan dengan perpindahan operasi feri untuk pejalan kaki ke SPCT.

Peniaga di Pangkalan Raja Tun Uda bimbang mengenai masa depan perniagaan mereka selepas operasi feri untuk pejalan kaki dipindahkan ke SPCT yang terletak kira-kira 1 km dari tempat mereka berniaga sekarang.

Tan berkata, perkhidmatan dua buah bot laju membawa penumpang pejalan kaki yang mula beroperasi sejak 6.30 pagi tadi berjalan lancar dan dijangka mampu mencapai 10,000 orang sehingga 11 malam nanti.

“Kapasiti maksimum satu bot laju ini adalah 200 penumpang dan kami menyediakan satu bot untuk setiap 30 minit,” katanya.

Bermula hari ini, perkhidmatan bot laju akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri, yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri itu.

Feri sedia ada pula hanya akan digunakan bagi penunggang basikal dan motosikal sehingga Jul 2022, manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini.

No comments: