Saturday, January 23, 2021

Skim khas untuk PATI?

 Shahril Hamdan

MGF17102019_FORUM-KELANGSUNGAN-MEDIA-CETAK_22
Shahril Sufian Hamdan

Semenjak bermula penularan Covid-19, satu sudut yang samar dalam strategi memerangi pandemik ini adalah soal berhubung pekerja asing tanpa izin (PATI).

Pelbagai laporan dan analisis membayangkan bahawa jika golongan ini tidak diberi perhatian, maka pendekatan itu tidak lengkap.

Selagi pendekatan itu tidak lengkap, kesan rantaian kepada krisis ekonomi dan kesihatan kepada negara serta rakyat Malaysia tidak akan dapat ditangani sepenuhnya.

Suatu kaedah untuk dipertimbang Kerajaan – yang kini mempunyai kuasa luas dibawah keadaan darurat:

1. Anggaran PATI di negara kita sekitar 3 juta.

Majoriti besar PATI bekerja (secara tidak sah) – sama ada di sektor perladangan, pembinaan, F&B, pembantu rumah dan sebagainya.

2. Cabaran sekarang adalah Covid. Selagi PATI tidak disaring, dirawat, atau kelak diberi vaksin, risiko penularan Covid-19 dikalangan masyarakat setempat tidak boleh terkawal sempurna. Ia juga soal perikemanusiaan yang wajar mengatasi sentimen nasionalisme dan sebagainya.

3. PATI takut disaring dan tidak mahu ke hadapan secara sukarela kerana akan diambil tindakan. Majikan mereka pun barangkali tidak ada insentif atau motivasi untuk hendak membantu untuk mereka mendapat saringan, rawatan atau vaksin kelak.

4. Maka, mampukah kita wujudkan suatu skim khas untuk tempoh terhad dan singkat demi matlamat utama negara disamping berlaku adil kepada semua pihak?

5. Yakni, kita wujudkan tempoh pengampunan atau “amnesty” untuk semua PATI tampil kehadapan dengan syarat:

A) majikan yang kini menggajikan mereka secara tidak sah, membayar kos permit sekitar RM2,800

B) tentunya permit tersebut terikat dengan tempat kerja mereka. Bukan permit bebas.

C) tiada ejen atau orang tengah supaya mengurangkan risiko pihak yang mampu menindas pihak PATI (contoh ambil duit dan pasport kemudian hilang) atau mengaut untung dari Kerajaan.

D) sebagai “penalti” kerana berada dalam negara kita tanpa izin, mereka/majikan membayar cukai ke LHDN setiap tahun bersamaan RM100 sebulan (walaupun rata-rata pendapatan mereka tidak akan sampai tahap gaji yang minima sebelum dikenakan cukai pendapatan). Bayaran ini boleh dikenakan setiap bulan melalui potongan PCB khas, atau setiap kali ada pembaharuan permit.

E) selepas tamat tempoh “pengampunan” – contohnya 3 bulan – operasi besar-besaran berserta tindakan tegas wajar diambil terutamanya kepada majikan yang masih degil.

6. Dengan skim seperti ini, diharap beberapa matlamat tercapai sekaligus:

– PATI yang telah berubah status boleh mendapat ujian saringan Covid-19 dan rawatan seperti rakyat dan pekerja asing sah yang lain. Ini soal kemaslahatan masyarakat dan perikemanusiaan.

– majikan yang selama ini mendakwa mahu mendaftarkan PATI sebagai pekerja sah tetapi tiada cara, sekarang ada cara dan tiada alasan.

– walaupun BUKAN matlamat utama, tetapi mampu menjana pendapatan Kerajaan RM12 bilion “one off” untuk tahun pertama dan lebih RM 3 bilion untuk tahun-tahun selepasnya. (RM2,800 x 3 juta) + (RM1,200 x 3 juta)

– meningkatkan keterlihatan pekerja asing di Malaysia, di mana (secara teori) sistem akan mampu mengesan dan memantau data lebih ramai pekerja yang selama ini “invisible”: lokasi mereka bekerja, tempat tinggal, majikan dll. Selagi ramai individu “di luar” sistem dan tidak direkod, selagi itulah pelbagai masalah timbul termasuklah risiko jenayah, tetapi juga risiko bermacam penindasan terhadap PATI yang wajar ditangani.

7. November lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan skim yang serupa tetapi terhad kepada sektor tertentu dan kurang jelas butiran pelaksanaannya. Semoga cadangan seperti ini dapat dipertimbang dan diperhalusi Kerajaan sebagai satu lagi langkah ke arah mencapai objektif besar negara – menyelesaikan segala cabaran akibat pandemik Covid-19. MALAYSIA GAZETTE.

(*) Shahril Hamdan- Ketua Penerangan UMNO Malaysia

No comments: