Tuesday, January 19, 2021

RM200 juta bantu mangsa banjir

 

MUHYIDDIN YASSIN

PUTRAJAYA: Kerajaan menyediakan peruntukan RM200 juta  bagi membantu meringankan  beban rakyat akibat bencana banjir baru-baru ini. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengarahkan agensi kerajaan berkaitan untuk  menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan  infrastruktur kecil dan rumah kepada mangsa banjir.

Di  samping itu, kata beliau, sebanyak RM50 juta disalurkan kepada Kumpulan  Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi  perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.  

“Dalam masa kita menghadapi wabak Covid-19, negara kita juga diuji dengan bencana banjir. 

“Di kesempatan ini, patik amat menjunjung  kasih atas keprihatinan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong  kerana turut mencemar duli dalam meredah banjir, serta terlibat dalam  misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan  sementara dan kampung-kampung sekitar Pahang baru-baru ini,” katanya dalam perutusan Bantuan Khas, hari ini.

Perdana Menteri pada masa sama mengajak rakyat terus kekal tenang di rumah  masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jika ada yang perlu hadir bertugas di pejabat,  patuhilah prosedur operasi standard (SOP) agar kekal selamat. 

Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat  kerana memahami dan terus menyokong  usaha kerajaan termasuk semua pihak yang turut membantu menangani wabak Covid-19  dan bencana banjir. 

Katanya, ini termasuk sektor korporat, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan  sukarelawan yang tidak mengenal penat lelah berganding bahu dalam  mendepani cabaran ini.  

“Saya menaruh penuh kepercayaan, walaupun kita menghadapi  1,001 masalah, namun kita juga mampu mengilhamkan 1,001  penyelesaian. 

“Sebagai insan, kita boleh terus merancang dan melakukan yang terbaik dan selebihnya kita perlu berdoa dan bertawakkal kepada tuhan yang maha esa. Berkat ilham dan kudrat yang dikurniakan, kita  semua mampu membentuk kehidupan yang lebih baik,” katanya. –UTUSAN

No comments: