Friday, January 1, 2021

Putrajaya lanjut tempoh bayaran balik pinjaman PTPTN 3 bulan lagi

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, keputusan ini dibuat kerana 
kerajaan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang terkesan dengan pandemik 
COVID-19 dan belum berupaya untuk membuat bayaran balik pinjaman.

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak, kata Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Noraini berkata, keputusan ini diambil kerana kerajaan menyedari masih terdapat peminjam PTPTN yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya untuk membuat bayaran balik pinjaman.

“Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Jan hingga 31 Mac depan.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.

“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini berkata, sebelum ini Putrajaya sudah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Dis kepada semua peminjam berikutan pandemik COVID-19.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN,” katanya.

No comments: