Thursday, January 21, 2021

Prosiding kes jenayah tetap dijalankan di mahkamah terbuka

BERNAMA

- Foto hiasan

Putrajaya: Semua prosiding kes jenayah termasuk kes kepentingan awam akan terus dijalankan di mahkamah terbuka di negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 27 Januari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan arahan itu, hari ini.

Salinan arahan itu dilihat Bernama telah diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Penguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.

Menurut arahan itu, antara kes jenayah akan diberikan keutamaan ialah kes pra-2020 dengan memberikan keutamaan kepada kes sambung bicara, kes melibatkan pesalah kanak-kanak dan kes kepentingan awam.

Kes kepentingan awam merangkumi kes rasuah, jenayah komersial, alam sekitar, Habeas Corpus, keganasan rumah tangga, pelanggaran peraturan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mahkamah akan memberikan keutamaan kepada mana-mana kes dipohon pihak untuk dijalankan atas sebab khas dan hal keadaan tertentu.

Walau apa pun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan mana-mana kes yang akan dijalankan di mahkamah terbuka semasa pelaksanaan PKP di semua negeri kecuali Sarawak berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP).

Mengikut arahan itu, semua pendengaran permohonan dalam kamar bagi kes jenayah perlu dibuat di mahkamah terbuka atau melalui teknologi komunikasi secara maya.

Dalam satu hari, sebanyak tiga sesi perbicaraan akan diadakan dengan tempoh maksimum selama 90 minit bagi setiap sesi perbicaraan dan semua prosiding hendaklah dijalankan sehingga selesai.

Sebelum prosiding dijalankan, mahkamah perlu memastikan tiada seorang pun dibenarkan hadir ke prosiding di mahkamah terbuka kecuali tertuduh dan dua ahli keluarga atau kawan, seorang timbalan pendakwa raya atau bilangan dibenarkan mahkamah, seorang peguam atau bilangan dibenarkan mahkamah serta saksi kes.

Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam satu kenyataan, berkata arahan Ketua Hakim Negara dibuat menurut kuasa beliau mengikut Seksyen 16A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 3A Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diubah suai melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019.

Bagi memastikan proses pentadbiran keadilan berjalan dalam keadaan teratur dan selamat, katanya, Tatacara Operasi Standard Pencegahan Wabak Covid 19 (SOP) dikeluarkan bagi pengguna mahkamah dan akan berkuat kuasa 27 Januari ini.

Pengguna mahkamah perlu mematuhi SOP, antaranya, penjarakan fizikal, mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis mahkamah serta dilarang berjumpa dengan tertuduh di dalam reman kecuali di mahkamah terbuka.

Selain itu, orang ramai yang tidak mempunyai sebaran urusan adalah dilarang untuk hadir di mahkamah.

Mengenai liputan media bagi kes kepentingan awam, katanya, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung dengan pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi Zoom.

No comments: