PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di blok tahanan dan kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian, Johor mulai esok.
Katanya, ia susulan peningkatan kes di depot berkenaan yang mencatatkan 177 kes positif setakat ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, Ismail berkata, 660 orang ditahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan semalam, dengan 621 individu dikompaun dan 39 lagi direman.
Katanya, kesalahan itu terdiri daripada tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) serta lain-lain (98).
Beliau berkata, 24 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan 17 kenderaan dirampas menerusi 447 sekatan jalan di seluruh negara semalam.
Katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan dua tapak pembinaan ditutup semalam kerana gagal mematuhi SOP.
“Hasil pemeriksaan mendapati hanya 50 tapak binaan beroperasi, manakala dua lagi tidak beroperasi. CIDB mendapati 45 tapak binaan mematuhi SOP, tiga tapak tidak patuh SOP, manakala dua lagi diarahkan tutup.”
Katanya, 608 individu pulang ke tanah air semalam, menjadikan keseluruhan 108,922 individu pulang sejak 24 April 2020.
Mereka ditempatkan di 79 hotel dan 16 institut latihan awam serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment