Thursday, January 21, 2021

Perlekeh darurat, Bukit Aman rakam keterangan Azwan Ali – Huzir

KUALA LUMPUR – Selebriti kontroversi, Azwan Ali atau dikenali sebagai Diva AA dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk membantu polis dalam siasatan berkenaan kes penularan klip video membabitkan darurat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan itu dimulakan kerana siasatan terhadap video itu mendapati Diva AA telah memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Video berdurasi 41 saat itu telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari 2021. Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengenalpasti pemilik akaun Facebook yang bertanggungjawab dan memuatnaik serta menularkan klip video itu.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” tegas Huzir.-MalaysiaGazette

No comments: