PETALING JAYA: Jabatan Statistik berkata, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 menimbulkan beberapa kesan kepada trajektori pemulihan ekonomi negara.
Walaupun ekonomi dijangka terus ke arah pemulihan, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata larangan perjalanan antara negeri dan sekatan terhadap operasi perniagaan berkemungkinan mengakibatkan kesan yang tidak diingini kepada ekonomi.
Katanya, industri berkaitan pelancongan akan menghadapi cabaran lebih getir bagi memastikan kelangsungan perniagaan, sementara mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menghadapi pengurangan pendapatan.
“Industri pelancongan mengalami kerugian sejak penutupan sempadan bagi pelancong asing bermula 18 Mac tahun lalu, dan memaksa Malaysia beralih ke pasaran domestik bagi memacu aktiviti pelancongan.
“Namun, senario semasa menyebabkan kerajaan menyekat kembali perjalanan merentas negeri di seluruh Malaysia bagi melandaikan lekuk jangkitan.
“Selain itu, individu yang terlibat dalam perniagaan khususnya PKS akan paling terkesan berikutan pengurangan dalam pendapatan mereka, terutama yang berkaitan dengan industri pelancongan dan peniaga waktu malam,” katanya dalam kenyataan.
Uzir berkata, 22 inisiatif dalam pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion akan membantu meringankan beban rakyat dan mengekalkan kesinambungan perniagaan semasa PKP 2.0.
Oleh kerana kadar pengangguran meningkat sedikit hingga 4.8% pada Nov, katanya, terdapat pengurangan pekerja di sektor yang berkaitan dengan pelancongan seperti makanan dan minuman serta penginapan, selain pengangkutan dan penyimpanan, seni, hiburan dan rekreasi.
No comments:
Post a Comment