KUALA LUMPUR – Susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari 2021 bagi seluruh negara hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan utama sahaja.
Ia membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.
Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.
Memandangkan ada murid sudah mula mendaftar masuk di asrama mulai 16 Januari 2021, KPM telah membuat ketetapan berikut:
(i) Sekolah Berasrama Penuh
Murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah; atau
• boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga
dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa
yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
(ii) Asrama Sekolah Harian
Murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di
sekolah; atau
• boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau
penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang
pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis
panduan yang ditetapkan.
Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
KPM berkata, keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021.
Manakala guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.
Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan.
Bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
Sementara itu, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.
Pelajar yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing. PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.
Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak.
Pada masa yang sama, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.
KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment