Jangan serah kod pengesahan 6-digit kepada mana-mana pihak: MCMC
BANGI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun Whatsapp pengguna.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, taktik itu menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima daripada pihak Whatsapp.
Katanya, kod pengesahan tersebut diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun Whatsapp.
MCMC berkata, pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun Whatsapp mereka diambil alih oleh ‘scammer’.
Kementerian itu berkata, pihaknya mengesan beberapa modus operandi yang digunakan antaranya penyamaran sebagai rakan atau ahli keluarga dengan menggunakan akaun Whatsapp dan kemudian merayu bantuan pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.
“Scammer menyamar sebagai kakitangan Whatsapp dan meminta pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.
“Scammer sengaja membuat beberapa cubaan pengesahan yang gagal. Lantaran itu, sistem Whatsapp akan seterusnya membuat panggilan automatik ke nombor pengguna untuk memaklumkan kod pengesahan,” katanya.
Melalui helah itu, katanya, scammer akan melakukan penyamaran dan berhubung dengan pengguna untuk mendapatkan kod atau cuba meneka secara rambang jika panggilan berkenaan tidak berjawab.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap permintaan kod 6-digit daripada mana-mana pihak termasuk mesej daripada orang yang dikenali atau kakitangan Whatsapp serta lain-lain pihak berkuasa.
“Tidak sekali-kali menyerahkan kod pengesahan 6-digit Whatsapp kepada mana-mana pihak atau menyerahkan kata laluan atau PIN bagi peti mesej suara.
“Memastikan kata laluan atau PIN peti suara adalah rumit dan sukar untuk diteka,” katanya.
No comments:
Post a Comment