Perarakan
pedati Thaipusam di Pulau Pinang awal pagi ini tidak mendapat kelulusan
daripada kerajaan negeri atau Majlis Keselamatan Negara, kata Timbalan
Ketua Menteri II, P Ramasamy.
Dia juga mendakwa bahawa kuil
Chettiar berani untuk meneruskan perarakan tersebut susulan “campur
tangan persekutuan” oleh Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.
Pulau
Pinang sebelum ini membatalkan perarakan perayaan Thaipusam berikutan
penularan wabak Covid-19, dan memohon para penganut agama Hindu supaya
bersembahyang di rumah.
Namun, Ramasamy berkata, Kuil Nattukotai
Chettiar mengemukakan rayuan untuk mengadakan perarakan setelah
kelulusan yang sama diberikan kepada sebuah kuil di Batu Caves.
Ramasamy berkata, kerajaan negeri belum pun membincangkan rayuan kuil itu apabila mereka meminta campur tangan Saravanan.
“Saya difahamkan bahawa kuil Chettiar bertindak berani susulan campur tangan Saravanan.
“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dan MKN belum memberikan kelulusan untuk perarakan pedati di Pulau Pinang.
“Apa
yang dilakukan kuil Chettiar itu sekarang tidak dapat diterima,”
katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tindakan harus
diambil terhadap mereka kerana melanggar arahan dari kerajaan negeri
mahupun MKN.
Ramasamy juga membidas Saravanan atas tuduhan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri.
Ketika
dihubungi, menteri sumber manusia itu berkata, dia akan menelefon dan
menjelaskan perkara itu kepada timbalan ketua menteri Pulau Pinang
berkenaan.
Malaysiakini juga telah menghubungi jawatankuasa kuil Chettiar dan MKN untuk mendapatkan ulasan mereka.
No comments:
Post a Comment