Friday, January 22, 2021

‘Mimpi ngeri kami di rumah kebajikan’

Penghuni mendakwa mereka dibuli sebelum diselamatkan dari sebuah rumah kebajikan 
di Buntong.

IPOH: Diana yang berusia 19 tahun dan Dorothy, 15, hanya mendiamkan diri di sudut bilik tidur “baru” mereka, merenung ke arah pintu dan berdoa tiada lelaki “pelik” di rumah itu akan masuk ke bilik mereka.

Terdahulu, mereka keliru. Sekarang, di tengah malam, hanya timbul ketakutan dan kemarahan. Dua beradik itu dihantar ke rumah “ayah” mereka, tetapi apa yang mereka lihat ialah seorang lelaki mabuk dan botol minuman keras dibuang di merata tempat.

“Kami tidak tahu apa yang perlu dibuat. Kami sebenarnya tidak tahu di mana kami berada. Kami hanya mahu melarikan diri,” kata Diana kepada FMT ketika menceritakan detik menakutkan.

Diana dan Dorothy menghabiskan hampir semua masa mereka di sebuah rumah kebajikan di Buntong, tetapi mereka diusir selepas ditangkap merakam video penderaan fizikal dan emosi yang dihadapi kanak-kanak di rumah itu.

Dua remaja itu berkata, penyelia rumah kebajikan itu mengusir mereka pada waktu malam untuk “tinggal dengan ayah mereka”, individu yang mereka tidak pernah temui, di sebuah rumah di sebuah kampung luar bandar di Batu Gajah.

Di rumah itu, mereka berkata, botol minuman keras bertaburan di lantai, dan Diana berkata, lelaki yang didakwa ayah mereka itu mabuk dan suka menggumam. Satu lagi pasangan warga asing turut tinggal di rumah itu.

Mujur tiada perkara tidak diingini berlaku malam itu. Keesokannya, dua gadis itu memberitahu “ayah”, mereka mahu ke kedai runcit berdekatan.

Mereka mengambil peluang itu untuk melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai di sana dengan menceritakan nasib mereka.

Mereka dihubungkan dengan sebuah NGO yang membantu golongan berdepan masalah.

NGO yang dikenali sebagai Persatuan Harapan India Malaysia menyelamatkan gadis itu selepas diberitahu nasib mereka dan penghuni lain di rumah kebajikan kanak-kanak itu.

Presidennya, M Manimaran terkejut mendengar apa yang berlaku di rumah kebajikan itu dan berjaya menyelamatkan enam kanak-kanak yang kemudiannya ditempatkan di rumah kebajikan lain.

FMT tidak dapat mendedahkan nama rumah kebajikan itu sementara menunggu komen pihak pengurusannya.

Manimaran turut membuat laporan polis dan memfailkan aduan di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Diana mendedahkan penghuni di rumah kebajikan itu sering dibuli dan dimarahi penyelia.

“Ada ramai orang yang baik hati menderma barangan ke rumah itu, tetapi ia dijual semula. Kami juga diugut tidak mendedahkan apa yang berlaku di rumah itu.”

Mereka mendakwa penghuni di sana turut diberikan nama Kristian dan dipaksa menghadiri aktiviti di sebuah gereja.

Dua beradik yang diselamatkan dari rumah kebajikan itu, Salvander Kaur Vikram Singh, 17, dan Elvina Kaur, 14, turut berkongsi pengalaman trauma di rumah itu.

Dua beradik dari Johor itu dihantar ke rumah kebajikan itu kerana ibu bapa mereka tidak mampu memberikan pendidikan baik kepada mereka.

“Saya dimasukkan ke rumah berkenaan pada Jun tahun lalu, dan hanya sempat tinggal di sana tiga bulan sehingga September. Saya dan adik saya sering diugut akan dipotong rambut jika melawan.” Lelaki dan wanita Sikh tidak memotong rambut mereka kerana ia sebahagian daripada amalan mereka.

“Mereka memaksa kami pergi ke gereja dan bersembahyang, jika saya enggan, mereka mengugut akan memberitahu ibu kami. Ibu kami ada menelefon, tetapi tidak dapat bercakap dengan kami kerana diberitahu kami sibuk dengan pelajaran dan tiada di situ, sedangkan kami ada.”

Rambut Elvina dipotong pendek sebagai hukuman melawan cakap penyelia.

“Rambut saya dulu panjang, tapi dah dipotong pendek sebagai hukuman.

“Sekarang saya dan kakak sudah tiada di sana lagi, saya seronok dan tidak lagi dibuli. Sekarang sudah masuk tiga bulan saya tinggal di bawah jagaan pakcik Mani dan kami seronok,” katanya.

No comments: