Saturday, January 23, 2021

JHEAINS nafi video tular dakwa jemaah solat Jumaat tak patuh SOP

Siti Hafidah

 Aktiviti solat Jumaat dipantau sepenuhnya oleh PDRM, RELA

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini menafikan satu rakaman video tular yang mendakwa jemaah solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi di sini tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, aktiviti solat Jumaat itu dipantau sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas masjid selain para jemaah juga mematuhi SOP seperti membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mematuhi arahan penjarakan fizikal.

“Hanya satu pintu pagar sahaja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid dan jawatankuasa masjid juga menyediakan tiga khemah di luar kawasan masjid untuk tujuan melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan jemaah.

“Jemaah juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di dalam kawasan masjid berdasarkan SOP yang telah ditetapkan. Oleh sebab itu, terdapat banyak kenderaan kelihatan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, video berdurasi lebih dua minit tular di media sosial susulan perkongsian seorang lelaki yang mendakwa jemaah di masjid berkenaan tidak memakai pelitup muka dan hadir ke masjid dengan kapasiti yang ramai.

Mohd Zaidi berkata jemaah yang dilaporkan hadir semalam hanyalah seramai 900 individu sahaja walaupun kapasiti dibenarkan dengan mengambil kira penjarakan fizikal adalah sebanyak 1,200 individu, manakala kapasiti sebenar masjid itu tanpa penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 jemaah. – Bernama

No comments: