Saturday, January 2, 2021

Janganlah semua makanan nak sumbat dalam peti ais

Ada makanan yang akan rosak jika dimasukkan ke dalam peti sejuk. (Gambar Rawpixel)

Tidak dinafikan, apabila ada makanan yang tidak habis atau berlebihan, sudah tentu anda akan berasa sayang untuk membuangnya. Apatah lagi jika ia masih dalam keadaan yang elok dan boleh dimakan. Maka penyelesaian yang mudah adalah dengan menyimpan di dalam peti ais atau peti sejuk (refrigerator / fridge). Sumbatlah segalanya dalam freezer tu.

Tetapi hakikatnya, tidak semua makanan sesuai atau boleh disimpan di dalam peti ais. Malah, ada makanan yang akan rosak jika dimasukkan di dalam peti sejuk. Jom kita ketahui antara jenis-jenis makanan tersebut:

1. Madu

Madu adalah antara makanan yang tidak sepatutnya diletakkan di dalam peti sejuk. Ini kerana dalam keadaan sejuk, madu akan bertukar menjadi butiran kristal dan keras seperti batu.Menyimpan madu di dalam peti sejuk juga akan menjejaskan kebaikan makanan yang kaya dengan khasiat ini.

2. Roti

Roti yang tidak boleh dihabiskan, sebaiknya jangan disimpan di dalam freezer. Suhu yang sejuk akan menukar struktur roti dan menjejaskan rasanya.

Tetapi mungkin anda boleh menyimpannya di bahagian bawah jika anda ingin menggunanya lebih daripada seminggu dan jangan lupa untuk panaskan di dalam toaster atau oven sebelum makan. 

3. Tembikai

Seronoknya dapat makan buah tembikai yang sejuk. Tetapi buah tembikai seeloknya diletakkan dalam suhu bilik. Kenapa ya?

Kerana terdapat penyelidikan mendapati antioksidan di dalam tembikai dapat dikekalkan apabila berada dalam suhu bilik berbanding suhu yang sejuk.

4. Pisang

Pisang yang disimpan di dalam peti sejuk akan menyebabkan perubahan pada kulitnya. Ia akan menjadi hitam dan ada masanya ia akan menjejaskan rasa buah ini.

5. Kacang

Suhu yang sejuk dapat mencegah minyak semula jadi yang terkandung dalam kacang menjadi tengik. Tetapi walau bagaimana pun, persekitaran yang sejuk boleh menjejaskan rasa kacang. Malahan, kulit kacang juga boleh menyerap bau makanan lain yang disimpan di dalam fridge.

Sebaiknya, simpanlah kacang di dalam bekas kedap udara dan letakkan di pantri. Jika anda ada menyimpan kacang di dalam fridge, anda boleh toast kacang anda di atas pan sebelum menggunakannya.

6. Pastri

Pasti ada yang menyangka, cara terbaik untuk menyimpan lebihan pastri adalah di dalam peti ais. Walau bagaimanapun, cara terbaik adalah dengan memasukkan ia di dalam beg kertas dan simpan di tempat bersuhu bilik biasa.

Jika disimpan di dalam freezer ia akan menjejaskan tekstur pastri dan menjadikan ia lembap. Sudah tentu ia jadi tidak sedap dimakan.

7. Sapuan roti

Sapuan pada roti sama ada coklat atau peanut butter, sebaiknya disimpan di luar peti ais. Ini kerana meletakkannya di dalam frigde akan membuatkan kedua sapuan roti ini menjadi keras dan sukar untuk disapu di atas roti.

Cara terbaik adalah memastikan ia diletakkan pada ruang bersuhu bilik.

Konklusi

Bukan semua makanan sesuai disimpan ke dalam peti ais. Namun, jika anda ingin menyimpan sesuatu makanan, pastikan ia dimasukkan ke dalam bekas bertutup atau sekurang-kurangnya, ia dibungkus dengan baik agar tidak menjejaskan makanan lain.

Tetapi jangan pula dibiarkan sehingga berbulan-bulan dalam freezer itu ya! 

(*) Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

No comments: