KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan Geng Ah Boon yang mendalangi kegiatan samun bersenjata ke atas pekerja warga asing sekitar tapak pembinaan dalam serbuan di Kampung Baru Dengkil, Dengkil dekat sini, malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, Cawangan Siasatan Jenayah Berat Polis Daerah Serdang menahan tiga anggota kumpulan itu terdiri daripada lelaki tempatan berusia 27 hingga 43 tahun.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta PERODUA Myvi, lima bilah pisau, sebilah parang, lima telefon bimbit serta pakaian yang digunakan mereka ketika melakukan jenayah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata tangkapan dibuat hasil siasatan ke atas kejadian samun membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah tapak pembinaan berhampiran Stesen LRT Bandar Puteri, Puchong, Isnin lalu.
"Dalam kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM1,200 serta beberapa dokumen peribadi serta kad bank.
"Hasil soal siasat awal ke atas kesemua suspek, mereka mengaku terbabit dengan kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Razali berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta pecah rumah dan aktif menjalankan kegiatan samun sejak tahun lalu.
"Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan kegiatan samun di tapak-tapak pembinaan dengan dengan menyasar pekerja warga asing sebagai mangsa.
"Kita dapati kumpulan ini mendalangi dua kes samun menggunakan modus operandi itu tahun lalu dan kita masih menyiasat pembabitan mereka dengan kes lain yang menggunakan modus operandi sama," kata beliau.
Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (samun berkawan, bersenjata).
No comments:
Post a Comment