KUANTAN: Lebih 40 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kapasiti ruang solat di masjid negeri, daerah, kariah dan surau di Pahang yang mendapat kebenaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifli Ali, berkata pihaknya meminta semua jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, kaedah penentuan kehadiran jemaah adalah secara terbuka dan wajib mengimbas suhu badan dan merekod kehadiran melalui MySejatera dan Moveon (PahangGo) yang disediakan di pintu masuk.
"Jemaah wajib membawa sejadah sendiri bersaiz besar, mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada di masjid termasuk ketika mendirikan solat.
"Imam hendaklah membaca surah yang ringkas di dalam solat, memendekkan bacaan wirid dan doa selepas solat.
"Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, wajib digantikan dengan solat Zuhur.
"Mereka yang bergejala dan kanak-kanak berumur kurang 12 tahun tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, aktiviti pengajian agama hanya dibenarkan di masjid sahaja selepas solat Subuh serta antara waktu Maghrib dan Isyak sepanjang PKP sehingga 4 Februari ini.
Katanya, jemaah dilarang berganjak atau berubah tempat duduk ketika mengikuti pengajian agama.
"Bagi pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19, ia akan dibuat di dalam bilik atau tempat khas dengan jumlah pengendali berdasarkan keluasan ruang dengan mengambil kira penjarakan fizikal.
"Semua yang hadir perlu memakai pelitup muka dengan sempurna dan merekodkan kehadiran yang ditetapkan pentadbir masjid serta surau.
"Solat jenazah dibenarkan dilaksanakan di ruang solat masjid dan surau dengan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk penjarakan fizikal ketika berada di tanah perkuburan.
"Bacaan talkin dan tahlil ringkas sahaja dibenarkan selepas pengebumian," katanya.
No comments:
Post a Comment