Sunday, January 24, 2021

Bilangan gelandangan dijangka meningkat kesan PKP

 Oleh Siti Haliza Yusop

  Gelandangan berbaring di siar kaki lima ketika tinjauan gelandangan di Bukit Bintang. - NSTP/Asyraf Hamzah Gelandangan berbaring di siar kaki lima ketika tinjauan gelandangan di Bukit Bintang.-NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Peningkatan bilangan gelandangan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, dijangka berulang sepanjang tempoh penguatkuasaan sama kali ini.

Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen (KCS), Justin Cheah, berkata berdasarkan data dikumpul oleh pihaknya, hanya 30 peratus daripada populasi gelandangan di ibu kota adalah berasal dari Lembah Klang.

Beliau berkata, kebanyakan golongan itu didapati berhijrah dari luar Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan tetapi gagal dan akhirnya terpaksa hidup sebagai gelandangan.

"Ada juga yang terpaksa menjadi gelandangan selepas hilang sumber pendapatan.

"Selain gelandangan, kami menjangka golongan miskin bandar juga antara yang banyak terkesan dengan penularan COVID-19.

"Mereka asalnya ada kediaman tetapi terpaksa berhenti menyewa selepas hilang pekerjaan," katanya kepada BH, di sini.

Tinjauan BH di ibu kota terutama sekitar Bukit Bintang, mendapati golongan gelandangan yang kebanyakannya berusia dalam lingkungan 40 tahun dan ke atas, meminta sedekah termasuk di laluan berhampiran Plaza Low Yat.

Seorang lelaki duduk berhampiran tangga jejantas ketika tinjauan gelandangan di Plaza Low Yat. - NSTP/Asyraf Hamzah
Seorang lelaki duduk berhampiran tangga jejantas ketika 
tinjauan gelandangan di Plaza Low Yat. - NSTP/Asyraf Hamzah

Antara mereka yang mahu ditemu bual BH ialah seorang lelaki hanya ingin dikenali sebagai Ken berusia 42 tahun.

Ken memaklumkan, beliau berasal dari Ipoh, Perak, dan terpaksa hidup di jalanan selepas dibuang kerja ketika pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.

"Saya bekerja sebagai tukang masak di ibu kota selama tiga tahun. Ketika PKP pertama, perniagaan majikan terkesan dan saya dibuang kerja.

"Hingga kini, saya belum berjaya mendapat pekerjaan lain dan terpaksa hidup di jalanan. Keluarga di kampung juga sudah tiada, justeru saya tidak mahu pulang ke sana.

"Mujur ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu memberi makanan setiap hari," katanya.

Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL), Quratulain Atiqah Nor Zahirul Anuar, berkata pihaknya memperuntukkan hingga 200 bungkus makanan berkuah untuk gelandangan dan miskin bandar yang diedarkan di Jalan Panggong, di sini, setiap Ahad.

Sebelum PKP, beliau berkata, sukarelawan DJKL hanya memasak kira-kira 100 hingga 180 bungkus makanan, namun jumlah itu ditambah selepas PKP pertama.

Seorang lelaki duduk berhampiran tangga jejantas ketika tinjauan gelandangan di Plaza Low Yat. - NSTP/Asyraf Hamzah
Seorang lelaki duduk berhampiran tangga jejantas ketika 
tinjauan gelandangan di Plaza Low Yat. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Setakat ini, saya melihat belum ada pertambahan ketara bilangan gelandangan di kawasan agihan bantuan kami memandangkan pelaksanaan PKP kedua masih baru.

"Bagaimanapun, DJKL bersedia untuk menyediakan lebih banyak makanan. Pada PKP yang lalu, kami pernah mengedarkan hingga 400 bungkus makanan, terutama menjelang Aidilfitri ketika rentas negeri tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu Presiden Pertiwi, Datuk Munirah Abdul Hamid, berharap NGO di negara ini dapat menjalinkan kerjasama dalam usaha membantu gelandangan dan miskin bandar yang memerlukan.

Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan mesej membantu golongan terbabit, dapat disalurkan kepada masyarakat.

Pada masa sama, katanya, ia bertujuan memastikan tiada pembaziran sumber dan makanan berlaku ketika usaha murni itu direalisasikan.

No comments: