Saturday, January 23, 2021

Bangkai gajah Pigmy Borneo ditemui ditembak di kepala, kulit disiat

KOTA KINABALU: Seekor gajah Pigmy Borneo ditemui sudah mereput dengan kesan tembakan dan tetakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod, di sini, kelmarin.

Bangkai gajah itu ditemui jam 8 pagi dipercayai berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun dengan beberapa anggota badannya terpisah antara satu sama yang lain.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Agustine Tuuga, berkata gajah berkenaan dipercayai sudah mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum ditemui.

Katanya, berdasarkan hasil bedah siasat, pihaknya percaya gajah berkenaan terkena tujuh tembakan dengan empat daripadanya di kepala.

"Sebahagian besar kulit gajah berkenaan juga disiat dan beberapa anggota badannya seperti kaki dan telinga ditemui kira-kira enam hingga 32 meter dari badannya.

"Beberapa anggota badan gajah, termasuk kepala dan gading ditemui, kecuali belalai," katanya di sini, hari ini.

Agustine berkata, sukar untuk mengenal pasti motif pembunuhan haiwan dilindungi berkenaan namun siasatan akan diteruskan.

Katanya, ia adalah penemuan bangkai gajah ketiga setakat ini dan ia adalah kali pertama kulit haiwan berkenaan disiat.

"Kita akan meneruskan siasatan lanjut dan setakat ini tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan," katanya.

Difahamkan, satu laporan polis sudah dibuat oleh pengurus di ladang terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pejabat JHL Sabah untuk membantu siasatan.

No comments: