Noor Hidayah Tanzizi
Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 100 bubu naga di perairan Segari di sini, kelmarin.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, peralatan berkenaan dirampas di empat lokasi 3.7 hingga 7.1 batu nautika barat laut Pulau Talang pada 12.30 tengah malam ketika anggota bot Benteng 6 dan Petir 80 menjalankan rondaan Op Benteng.
"Anggota bot mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan. Pemeriksaan mendapati, pelampung itu penanda kepada bubu yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.
"Anggota kemudian memeriksa setiap pelampung di lokasi lain dan mendapati semuanya terdapat bubu naga," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrizan berkata, semua bubu itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.
"Rampasan bernilai RM12,000 dengan setiap unit bubu naga itu dianggarkan RM120.
"Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.
Menurutnya, aktiviti perikanan menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus.
Katanya, komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.
No comments:
Post a Comment