Saturday, October 3, 2020

Ahli politik Melayu tak jaga ekonomi bangsa sendiri, kaum lain ambil peluang

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Lebih 60 tahun merdeka, ekonomi Bumiputera masih di takuk sama

BANGI – Isu ketirisan dalam pengagihan dan penyaluran wang peruntukan kerajaan antara faktor pembangunan sosioekonomi Bumiputera tidak berkembang pesat.

Justeru, agenda berkenaan tidak boleh dicapai selagi ketirisan masih berlaku dalam kerajaan, meskipun pelbagai inisiatif dan dasar dirangka setiap tahun, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob.  

Mengakui kesal kerana selama lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, ekonomi Bumiputera masih berada di takuk sama, bahkan terus ketinggalan dengan kaum lain di negara ini.

“Walaupun ia (ekonomi Bumiputera) tidak merudum, tetapi ia tidak berkembang dengan pesat sebab ketirisan dari pengagihan.

“Bahkan, tiada juga tindakan bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Bumiputera adalah kaum paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding Cina (1.4 peratus dan India (4.8 peratus) pada 2019.

Muhyiddin berkata, jurang pendapatan purata pada 2019 antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM2,802 iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pada 1989.

Menyifatkan jurang berkenaan mengecewakan, Dr Abu Sofian berkata, pemimpin Melayu perlu serius memainkan peranan mereka dalam menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Katanya, pengaruh politik juga antara faktor lain yang memberikan kesan kepada perkembangan ekonomi Bumiputera.

“Ahli politik Melayu tidak menjaga kepentingan Bumiputera, dan hanya mementingkan diri sendiri sehingga kaum lain mempergunakan ahli politik Melayu untuk faedah mereka.

“Sedangkan, kaum lain menjaga kepentingan sesama kaum mereka, tetapi berbeza dengan orang Melayu yang lebih suka penting diri sendiri dan dengki,” katanya.

No comments: