Ketika ini hanya diperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun, denda tak kurang RM5,000, tidak lebih RM20,000
PUTRAJAYA–
Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh
alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian
dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, kata Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong.
Beliau
berkata, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian
Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap
pemandu yang membuat kesalahan tersebut.
“Saya
serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan
Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan
pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya
kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Undang-Undang), di sini hari ini.
Pada 29
Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Akta
Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih
berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah
serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.
Loke dilaporkan berkata, ia melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.
Pada masa
ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah
pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun
serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.
Ditanya
mengenai cadangan pihak tertentu supaya pemandu mabuk yang membabitkan
kemalangan maut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana
menyebabkan kematian tanpa niat, Liew berkata, kesalahan jalan raya
adalah tertakluk di bawah APJ 1987.
Menurutnya, ia terpulang kepada budi bicara mahkamah selepas meneliti hujahan pihak pendakwa raya. – Bernama
No comments:
Post a Comment