Buletin Asia
Gambar hiasan.
KUALA
LUMPUR – Ahli parlimen dari UMNO, PAS, Bersatu dan sebahagian ahli
parlimen PKR yang pro Timbalan Presiden PKR Dato’ Sri Azmin Ali telah
dipanggil untuk menandatangani deklarasi, untuk menyokong Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya akan
datang, lapor Sarawak Report.
Ia adalah secara langsung menentang konsensus Pakatan Harapan (PH)
yang bercadang untuk memindahkan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden
PKR, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
Dakwa Sarawak Report, sekiranya jumlah yang mencukupi diperoleh,
deklarasi itu akan berarak ke istana untuk mendapatkan perkenan Yang
Dipertuan Agong bagi mengekalkan Mahathir dan menghalang Anwar untuk
menjadi perdana menteri.
PAS terdahulu mengakui menyokong penuh pentadbiran Mahathir dan akan
membuat undi percaya terhadap Pengerusi Bersatu itu di parlimen.
Khabar angin juga mendakwa PAS bekerjasama dengan sekurang-kurangnya
sekumpulan besar UMNO, untuk menghalang Anwar dan parti sekutu yang lain
dalam PH iaitu PAN dan DAP daripada terus mengemudi kerajaan.
Deklarasi ini membolehkan kemungkinan Bersatu, UMNO, PAS dan
sebahagian wakil rakyat PKR membentuk kerajaan baharu tanpa PKR pro
Anwar, PAN dan AMANAH.
Manakala parti-parti Sabah dan Sarawak berkemungkinan akan memilih untuk bersama ‘government of the day‘ bagi memastikan kesinambungan pembangunan dua negeri berkenaan.
Anwar dalam satu pertanyaan media berkata beliau tidak dimaklumkan
secara rasmi berkenaan sokongan ramai ahli parlimen ke atas Mahathir,
dan mendakwa perbuatan itu adalah perbuatan terdesak oleh ‘parti kalah’
yang mahu memecah belahkan PH.
Terdahulu, Mahathir telah berjanji akan menyerahkan kuasanya kepada
Anwar namun acapkali ditangguhkan atas alasan mahu membaiki kerosakan
negara dan memerlukan lebih banyak masa untuk menangani hal itu. –
Buletin Asia
No comments:
Post a Comment