Wednesday, February 5, 2020

Sekolah persendirian Cina di Seremban terima dana RM375,000?

siti hafidah

 

Suatu tindakan tidak berasas, bercanggah dengan Perlembagaan

BANGI – Tindakan Kerajaan Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke menyalurkan sumbangan kepada sebuah sekolah persendirian Cina di Seremban masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM75,000 dianggap sebagai satu tindakan tidak berasas.

Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad menyifatkan, tindakan tersebut bukan sekadar tidak berasas, malah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlanggaran terhadap Perkara 152 untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara sudah tentu gagal di sekolah-sekolah persendirian ini.

“Cukup-cukuplah. Kita perlukan keberanian, kejujuran dan keikhlasan untuk mengangkat sebuah sistem pendidikan negara yang bermaruah! Membenarkan sistem pendidikan kita terpisah-pisah, adalah satu kebobrokan!,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong di Facebook pada 21 Januari lalu mengenai majlis penyampaian peruntukan sumbangan dari Kerajaan Negeri Sembilan kepada Sekolah Tinggi Chung Hua.

Difahamkan sekolah berkenan menerima dana berjumlah RM375,000 dan majlis telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Isu pemberian sumbangan kepada sekolah persendirian Cina bukanlah sesuatu yang baru.

Sebelum ini, dana khas turut diberikan kepada sebuah kolej swasta di Kajang iaitu Kolej Universiti New Era berjumlah RM193,000 oleh Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, perkara berkenaan bukan sahaja isu sebuah sekolah yang diketahui ramai mempunyai fasiliti yang hebat tetapi masih diberi ‘bantuan’, malah lebih daripada itu.

“…rakyat wajar mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh terus memberikan dana kepada sekolah yang tidak mempunyai asas dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.


No comments: