Wednesday, February 5, 2020

Sedarlah Tun, PPSMI sudah gagal!

siti hafidah

 

Lebih baik fokus isu UEC, tulisan jawi yang masih tak selesai

NAH! Kebimbangan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mengenai kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengguna pakai idea-idea lama selepas memangku tugas menteri pendidikan ternyata benar.

Pada ketika itu Haji Aminuddin berkata: “Rakyat sedang berasa bimbang adakah Tun M mampu memberi idea-idea baru untuk menambah baik sistem pendidikan memandangkan perbezaan usia beliau dan perkembangan pendidikan semasa semakin canggih dan berubah-ubah dengan cepat”.

“Kemungkinan beliau hanya akan menjalankan idea-idea lamanya adalah besar”. Perkara berkenaan dinyatakan sehari selepas Dr Mahathir melantik dirinya sebagai pemangku menteri pendidikan bagi menggantikan Dr Maszlee Malik.

Pengumuman pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) nyata mengejutkan ramai pihak, terutamanya golongan akademik dan ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi mangsa dasar berkenaan.

Rakyat sama sekali tidak menyangka, pada ketika negara mengharapkan kewujudan sekolah satu aliran direalisasikan di bawah Dr Mahathir, alih-alih tanpa angin dan ribut kerajaan berhasrat melaksanakan PPSMI pula.

Walhal, banyak lagi isu lain yang boleh Tun Mahathir kemukakan untuk anak-anak bangsa. Tidak pun, Tun selesaikan dahulu isu-isu yang menjadi polemik negara ketika ini. Isu UEC, puak sana sibuk desak minta diiktiraf. Sudah tahu tidak ikut silibus pendidikan negara, masih tidak tahu malu ‘paksa’ iktiraf.

Begitu juga isu tulisan jawi. Pertubuhan radikal Cina, Dong Zong sekeras-kerasnya tidak mahu dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular. Nah, sepatutnya Tun M selesaikan isu ini dahulu. Jangan biarkan mereka ‘pijak kepala’.

Berbalik kepada PPSMI, menurut statistik, sepanjang pelaksanaan PPSMI dari tahun 2003 sehingga 2012 dilaporkan, hampir tiga juta murid gagal dan perkara itu sudah pasti memberi kesan kepada masa depan mereka.

Tidak dapat dinafikan ada murid-murid yang berjaya meloloskan diri dari cabaran PPSMI dengan cemerlang, sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi serta memiliki pekerjaan yang baik.

Namun begitu, nisbah mereka yang berjaya jika nak dibandingkan dengan yang gagal amat luas seperti perumpamaan langit dan bumi.

Pedang di sini bukan untuk berhujah panjang lebar berkenaan keburukan PSSMI, kerana Pedang yakin sudah ramai para cendekiawan dan akademik telah mengulasnya secara mendalam serta terperinci.

Apa yang diharapkan kini, Dr Mahathir sebagai menteri pendidikan dan orang nombor satu negara menilai semula kertas kerja serta nasihat yang pernah dihasilkan oleh kumpulan penyelidik tempatan termasuk luar negara berkenaan kegagalan PPSMI.

Ingat! Jangan sesekali membiarkan keputusan berkenaan PPSMI dibuat oleh golongan politik lagi, biarlah kali ini ia berpaksikan kepada saranan atau pendapat golongan yang benar-benar dekat dengan bidang pendidikan.

Selain itu, diharapkan juga, Dr Mahathir dapat mempertimbangkan beberapa cadangan alternatif bagi menambah baik penguasaan bahasa Inggeris seperti menambah tempoh masa pembelajaran di sekolah atau sebagainya.

Pedang yakin dan percaya penawar kepada masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah terutama dalam kalangan murid-murid Melayu mampu diatasi, sekiranya semua pihak bersatu hati serta berusaha secara bersama menyelesaikannya dengan tidak mengulangi formula yang terbukti salah.

Jangan perjudikan lagi masa hadapan anak-anak yang tidak bersalah ini, di bahu mereka bukan sahaja terletak harapan ibu bapa tetapi juga negara sebagai generasi yang akan memimpin suatu masa nanti.

Kata Pedang: Betul juga kata Prof Teo Kok Seong, bagaimana murid nak belajar Sains, Matematik jika Bahasa Inggeris lemah


No comments: