Sunday, February 2, 2020

PPSMI: Kerajaan ulang silap, masuk lubang biawak kali ke-2?

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Ikut negara maju lain, utamakan bahasa kebangsaan masing-masing


BANGI – Adakah kerajaan kini hendak mengulangi kesilapan sehingga sanggup masuk ke lubang biawak kali kedua?

Demikian soal Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan yang mengkritik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau menegaskan, PPSMI telah disahkan sebagai program yang salah daripada segi dasar, matlamat serta pelaksanaannya, dan kegagalan itu turut diakui Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga dimansuhkan pada tahun 2012.

“PPSMI bukan program pemulihan atau peningkatan penguasaan bahasa Inggeris kerana terbukti dalam kajian-kajian empiris bahawa penguasaan bahasa Inggeris tidak meningkat, malah pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik turut merudum.

“Ungkapan Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, mantan Naib Canselor UTM dalam hal ini sangat tepat, iaitu ‘Lain yang sakit, lain yang dibebat’,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

“Geografi dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Mengulas perkara itu, Dr Awang berkata, penguasaan bahasa Inggeris sepatutnya ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri, menerusi latihan perguruan, penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran serta penyusunan sukatan pelajaran yang berkesan.

Beliau turut menyarankan kerajaan mencontohi sikap dan kebijaksanaan negara lain yang melaksanakan pendidikan dalam bahasa kebangsaan masing-masing namun masih maju, seperti Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun dan Korea.

Beliau menegaskan, semua negara berkenaan tidak meminggirkan bahasa Inggeris, bahkan menekannya tetapi tidak sampai mengutamakan bahasa asing daripada bahasa sendiri.

“Belanda pula mula mengajarkan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah tetapi tidak menghadapi masalah kerana keberkesanan pengajaran bahasa Inggeris yang diamalkan.

“UNESCO dalam piagamnya menegaskan keberkesanan pendidikan yang menggunakan bahasa sendiri. Jauh lebih awal al-Quran telah memberikan isyarat yang jelas seperti dalam surah al-Rum, ayat 22 (mengenai kepelbagaian bahasa untuk pelbagai bangsa) dan surah Ibrahim, ayat 4 (perihal Allah menurunkan Rasul dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya),” katanya.

PPSMI pernah dilaksanakan dan terbukti gagal. Tun Dr Mahathir memperkenalkan dasar itu pada 2003, dan dilaksanakan secara penuh di seluruh negara pada 2008. 

Bagaimanapun, ia dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa, dan cendekiawan. 

Berdasarkan kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan dilaksanakan.

Malah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.


No comments: