Sunday, February 2, 2020

Perkasa dulu DLP, jangan tergesa-gesa laksana PPSMI

 tyrazalhe

 

Dah lama tak dengar kempen Program Imersif Tinggi

BANGI – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam memutuskan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan pendidikan, termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, walaupun kajian demi kajian telah dibuat, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendedahkan dapatan berkenaan supaya semua pemegang taruh, termasuk ibu bapa dapat menilai serta memberi pandangan yang rasional sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata, banyak faktor lain yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan pengajaran dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, yang pernah dilaksanakan pada 2008 namun dimansuh secara berperingkat pada 2012. 

“Salah satunya, kesiapsiagaan para pendidik dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dalam dua subjek itu antara perkara yang perlu diberi keutamaan serius. Jika pendidik tidak bersedia, kesannya sudah pasti merugikan generasi pelajar itu sendiri.

“Belum lagi disentuh usaha-usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa rasmi yang semakin pudar ketika ini. 

“Demikian juga, sudah lama tidak mendengar kempen atau usaha-usaha Program Imersif Tinggi (HIP) berkaitan dasar MBMMBI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

“Geografi dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Pada masa sama, Mahdzir turut menyarankan kerajaan memperkasakan terlebih dahulu Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016.

“Ini kerana pelaksanaan DLP adalah satu pilihan yang ditentukan oleh ibu bapa pelajar itu sendiri. Tiada paksaan,” katanya.

Program DLP, yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sejak 2016, memberi pilihan kepada sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


No comments: