Tuesday, February 4, 2020

PDRM dipotong 3 mata, angkara tunggakan gaji: FAM

Azrul hakimie

 

Berisiko dikena pemotongan 6 mata lagi sekira gagal selesai masalah

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memulakan saingan Liga Super 2020 dengan defisit tiga mata, kerana gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Malah, skuad ‘The Cops’ itu juga berisiko dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi, sekiranya tidak menyelesaikan masalah itu sebelum liga bermula pada 28 Feb ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam.

PDRM serta dua lagi pasukan, Melaka dan Kelantan sebelum ini diberikan tempoh sehingga Jumaat lepas, untuk melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai terbabit.

Bagaimanapun, Melaka dan Kelantan terlepas daripada hukuman itu selepas melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pihak yang terlibat.

“FAM akan berkomunikasi dengan Malaysian Football League (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata tersebut. Seperti yang dinyatakan dalam surat yang sama bertarikh 15 Jan lalu, PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Feb.

“Justeru FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Melaka membayar RM2.1 juta daripada tunggakan RM2.7 juta dalam tempoh berkenaan dan telah dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang tertunggak.

Kelantan pula melangsaikan RM1 juta daripada tunggakan RM1.6 juta, manakala membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Stuart berkata FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan itu mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai.

“Ia tidak termasuk kes-kes yang telah dilaporkan dan akan diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang mana amaun penuh bayaran dan hukuman akan ditetapkan oleh FIFA. FIFA berhak menetapkan sebarang hukuman andai pasukan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan mengikut jumlah dan tempoh yang ditetapkan.

“Selain itu, Kelantan turut mempunyai tiga kes tunggakan gaji tetapi ia dalam proses untuk dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan keputusan kes berkenaan akan ditentukan oleh jawatankuasa tersebut. Oleh itu, ia tidak termasuk di dalam ketetapan yang dibuat FAM ini,” katanya.

Selepas selesai fasa pertama melibatkan masalah tunggakan membabitkan gaji pemain dan pegawai pasukan utama iaitu Liga Super dan Liga Premier, FAM akan beralih kepada fasa kedua melibatkan masalah tunggakan pasukan dengan agensi kerajaan, seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial, selain masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan skuad Piala Presiden dan Piala Belia.- Bernama


No comments: