Tuesday, February 4, 2020

Coronavirus: Kerajaan buat rakyat rasa tak selamat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Bertindak lambat walau tahu kematian boleh berlaku

BANGI, – Rakyat berasa tidak selamat dengan sikap kerajaan mengundang masuk pelancong asing semata-mata mahu mendapatkan wang ringgit, meskipun wabak coronavirus semakin menular.

Ketua Wanita gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Dr Suriani Sudi mendakwa, rakyat marhaen tidak lagi boleh bersabar dengan kerajaan yang lambat bertindak, sedangkan mengetahui bahawa wabak itu boleh merebak dengan cepat.

Malah katanya, kerajaan juga tahu kematian disebabkan wabak berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa, namun mereka mengambil pendekatan menerima kemasukan pelancong asing.

“Mereka tidak nampakkah bahawa kesihatan itu lebih mahal daripada wang sebenarnya.

“Berapa sen sangat yang kita dapat jika terpaksa mengorbankan kesihatan dan nyawa-nyawa rakyat. 

Mereka tidak sayangkah kepada rakyat? Di manakah mereka kata mereka membela rakyat?,” soalnya dalam temu bual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi, malam ini.

Ustazah Suriani mendakwa, rakyat tidak dijaga dari segi keselamatan, kebajikan serta tidak diambil kisah oleh kerajaan berhubung penularan wabak berkenaan, sebaliknya mereka terus ‘diperah-perah’.

“Kita tengok netizen sebelum ini meluahkan rasa marah dan geram terhadap kerajaan atas tindakan yang amat lambat,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya bertindak tegas dengan menutup pintu masuk negara khususnya kepada pelancong China.

“Apabila berlaku wabak itu, kerajaan diuji. Tetapi mereka kena fikir kebajikan rakyat dan bersikap tidak agresif, cepat dan betul untuk mengekang penularan-penularan tersebut.

“Bila sudah berlaku, mereka mahu menyalahkan siapa? Mereka akan menyalahkan orang lain, salahkan rakyat tidak menjaga kesihatanlah sedangkan mereka yang membenarkan pembawa-pembawa (virus) itu masuk,” katanya.


No comments: