Langgar 4 kenderaan, akibatkan seorang pemandu kereta maut
SEREMBAN
– Seorang pemandu kereta maut manakala tiga penunggang dan seorang
pembonceng motosikal cedera selepas mereka dirempuh sebuah kereta
dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, secara
melawan arus di kilometer 17.5 Lebuhraya Lekas, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor
Marzukee Besar berkata dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, seorang
pemandu kereta jenis Proton Persona dikenali sebagai Abdul Salam Saad
berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan
parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati kereta yang
dipandu mangsa serta tiga motosikal itu berada dalam satu laluan yang
sama sedang bergerak dari susur keluar Tol Pajam menghala ke Seremban.
“Apabila sampai di tempat kejadian,
kereta jenis Ford Fiesta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang
sedang bergerak terus dari arah Kajang, Lebuhraya Lekas dipercayai cuba
melawan arus untuk masuk ke jalan susur keluar Tol Pajam dan merempuh
sebuah Proton Persona dan tiga buah motosikal yang berada di laluan
berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya tiga penunggang dan seorang
pembonceng motosikal itu luka di badan dan tangan manakala pemandu
kereta yang melawan arus itu cedera di kepala dan luka di badan.
Beliau berkata mayat lelaki yang
meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk
bedah siasat manakala pemandu lelaki yang cedera itu turut dihantar ke
hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Polis masih menunggu laporan ujian
alkohol dan air kencing pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian itu
sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah,” katanya sambil menambah
kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)
1987.- Bernama
No comments:
Post a Comment