Libatkan nilai dagangan hingga cecah puluhan ribu ringgit
KUALA LUMPUR
– Sima (bukan nama sebenar) ditawarkan seorang bayi untuk dijadikan
anak angkat tetapi perlu membayar pelbagai kos sehingga mencecah
RM15,000.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata dia
mencari anak angkat menerusi laman sosial sejak awal tahun lepas dan
nyaris ditipu ibu kandung bayi yang dikenalinya kira-kira 10 bulan lepas
apabila wanita terbabit mengarahkannya membuat transaksi wang melalui
bank.
“… tetapi saya bertegas mahu bersemuka
dengannya bersama bayi itu… dia paksa saya masukkan duit dalam akaunnya…
bila saya bertegas saya disekat daripada menghubungi ibu kandung itu,”
katanya yang nyaris rugi ribuan ringgit.
Selain kes itu, terdapat juga orang
tengah atau pihak tertentu menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat
dengan bayaran tertentu.
Kebanyakan mereka beroperasi melalui
media sosial dan hasil carian Bernama selama lebih sebulan mendapati
terdapat pelbagai akaun yang menggunakan kata kunci ‘anak angkat’ dengan
rata-rata kos yang perlu ditanggung bakal ibu bapa angkat mencecah
RM10,000 hingga RM20,000.
Prosesnya juga mudah iaitu mereka yang
ingin mendapatkan anak angkat hanya perlu mengisi butiran peribadi
seperti pekerjaan, tempat tinggal, sebab untuk mengambil anak angkat dan
yang paling penting perlu bersedia menanggung kos yang mencecah
RM10,000 sehingga RM20,000.
Ada juga yang meletakkan harga bayi mengikut warganegara dan bukan warganegara serta yang sah taraf dan tidak sah taraf.
‘Pelanggan’ juga perlu membayar wang
deposit antara RM2,000 hingga RM7,000 dengan alasan wang itu adalah
untuk kegunaan pembayaran kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati
kepada ibu kandung untuk meneruskan kehidupan.
Menceritakan pengalamannya, Sima berkata:
“Saya pernah ditawarkan bayi tetapi perlu membayar RM15,000 untuk kos
bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung. Urusan
penawaran itu dilakukan oleh seorang individu yang menjadi orang tengah
kepada ibu kandung bayi berkenaan”.
Berkongsi pengalaman urusan ‘jual beli’
bayi di media sosial, seorang lagi wanita, Fizah (bukan nama sebenar)
berusia 30 tahun, menceritakan pengalamanya yang telah dua kali
berunding dengan dua ibu kandung menerusi laman sosial untuk mengambil
bayi mereka sebagai anak angkat.
“Sudah dua kali saya hampir nak dapatkan
anak angkat tetapi ibu kandung batalkan kerana mendapat tawaran yang
lebih (tinggi) daripada orang lain.
“Saya jadi tertekan kerana semua barang
keperluan bayi sudah dibeli tetapi akhirnya ibu kandung enggan
menyerahkan anaknya kepada saya kerana ada pasangan lain yang
menjanjikan tawaran wang yang lebih tinggi,” katanya yang sudah lima
tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.
Katanya sehingga kini dia masih menerima
mesej menerusi laman sosial daripada pihak tertentu menawarkan bayi
mereka untuk dijadikan anak angkat.
Kedua-dua wanita itu sehingga kini gagal mendapatkan anak angkat melalui dalam talian.
Ditanya mengapa tidak mendapatkan anak
angkat menerusi saluran yang betul seperti mendaftar dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat, tanggapan mereka adalah sama iaitu prosesnya
lambat dan perlu melalui beberapa tapisan serta tidak boleh memilih
jantina bayi yang mereka mahu.
Persoalannya adakah cara untuk
mendapatkan anak angkat yang seolah-olah ‘urusan jual beli bayi’ itu sah
di sisi undang-undang dan sejauh mana jaminan pasangan yang berurusan
itu akan mendapat anak yang diidam-idamkan.
Sebuah akaun yang menawarkan perkhidmatan
mencari anak angkat di laman sosial mendakwa mereka adalah badan bukan
kerajaan (NGO) yang membantu ibu kandung mencari keluarga angkat untuk
anak mereka.
Hasil perbualan Bernama bersama wakil NGO
itu menjelaskan kebanyakan golongan ibu yang menggunakan khidmat
organisasi itu mengalami pelbagai masalah peribadi termasuk melibatkan
wang.
“Mereka (ibu kandung) ini datang dengan
pelbagai masalah dan minta RM12,000 hingga RM14,000… apabila diselidik
memang mereka berdepan dengan masalah hutang dan rancang jual anak untuk
selesaikan hutang,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai situasi
menang-menang apabila kedua-dua pihak mendapat apa yang mereka mahukan.
Beliau berkata pihaknya akan mengenakan
bayaran perkhidmatan antara RM200 dan RM500 bagi setiap keluarga angkat
yang mahukan perkhidmatan mereka dan duit itu akan digunakan untuk rumah
anak-anak yatim di bawah pengurusan mereka.
Bagaimanapun, urusan yang boleh
diibaratkan sebagai ‘jual beli’ bayi di media sosial itu menimbulkan
kerisauan mengenai nasib bayi itu.
Pengerusi Pelindung Kanak-Kanak Wilayah
Persekutuan Syed Azmi Alhabshi berkata bayi berkenaan tidak boleh
dipantau dan butiran lengkap ibu bapa angkat juga tidak direkod untuk
tindakan seterusnya.
“Jika menerusi JKM, butiran ibu bapa
direkod dan keadaan bayi dapat dipantau bagi memastikan nasibnya
terbela…yang menjadi kerisauan saya adalah apa nasib bayi selepas dijaga
ibu bapa angkat menerusi laman sosial ini.
“Perkara yang dibimbangkan adalah jika
bayi itu tidak mempunyai sijil kelahiran dan tiada warganegara,” katanya
yang pernah berdepan dengan masalah ibu kandung menghilangkan diri
selepas menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat.- Bernama
No comments:
Post a Comment