Sunday, February 2, 2020

Hanya selepas telefon KPN, baru polis bertindak, kata exco PPBM berhubung insiden kepungan di Johor

Exco Pemuda PPBM Abdul Hannaan Khairy berkata, penganjur 
juga sebelum itu meminta polis mengawal keadaan tetapi tiada 
tindakan diambil. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Exco Pemuda PPBM, Abdul Hannaan Khairy mempersoalkan tiada tindakan diambil oleh polis sebelum Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menelefon Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bagi mengawal provokasi dan kekecohan yang berlaku dalam perjumpaan Pemuda PPBM di sebuah restoran Ulu Tiram semalam.

Beliau berkata, sebelum itu penganjur meminta polis mengawal keadaan, tetapi tiada tindakan diambil.

“Pada ketika itu, kereta peronda polis sudah berada di luar kawasan majlis. Kira-kira 500 meter.

“Setiausaha politik Syed Saddiq juga bercakap dengan pihak polis supaya masuk dan bantu, namun perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan selepas 4 jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Dalam insiden malam tadi, satu kumpulan kira-kira 200 orang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Syed Saddiq keluar dari Johor ketika mengepung restoran tersebut yang menjadi lokasi perjumpaan Pemuda PPBM dan turut dikunjungi pelanggan wanita serta kanak-kanak.

Syed Saddiq kemudiannya dilaporkan terpaksa memanjat pagar untuk keluar dari restoran itu, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan berkenaan.

Hannaan berkata, hanya selepas Syed Saddiq menelefon Hamid, 15 minit kemudian ketua balai berdekatan hadir bersama-sama anggota polis beruniform yang lain masuk ke kawasan majlis.

Beliau berkata, selepas itu, Syed Saddiq baru berucap namun ucapannya disambut dengan laungan “bodoh”, “balik”, “hancing”, “penipu” dan “daulat Tuanku”.

“Itulah laungan mereka (golongan tetamu yang tak diundang),” katanya.

Hannaan berkata, kumpulan itu juga mendesak supaya Syed Saddiq merakamkan video permohonan maaf kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Jika Syed Saddiq tidak mahu berbuat demikian, mereka tidak akan berganjak.

“Laungan tersebut mula perlahan apabila Syed Saddiq tamat berucap dan acara berselawat beramai-ramai antara tetamu yang diundang bermula,” katanya.

Hannaan berkata, Syed Saddiq berjaya dikeluarkan mengikut laluan alternatif bagi mengurangkan risiko pergaduhan dan kecederaan melibatkan beliau dan juga hadirin lain.

Beliau berharap siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tindakan dapat diambil kepada individu terbabit.

“Dalang kepada rusuhan ini wajib ditahan. Undang-undang Malaysia terpakai kepada seluruh rakyat ,” katanya.
 

No comments: