Monday, February 17, 2020

Bekas bos SPRM saksi kes Apandi saman Kit Siang

Mohamed Apandi Ali dan Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed dan peguam cara negara yang sudah bersara, Zauyah T Loth Khan antara 11 saksi yang akan memberi keterangan bagi pihak bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali dalam samannya terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Peguam Apandi, M Visvanathan berkata mereka dipanggil kerana Abu Kassim terlibat dalam siasatan manakala Zauyah salah seorang pendakwa raya yang meneliti kertas siasatan ke atas 1MDB pada 2015.

“Apandi orang pertama yang akan masuk kandang saksi dan diikuti orang lain,” katanya kepada FMT.

Awal hari ini, Hakim Azimah Omar menetapkan 5 hari untuk perbicaraan bermula 28 Sept, dengan pengurusan kes terakhir ditetapkan pada 2 Apr.
Apandi memfailkan saman terhadap Lim pada Julai tahun lepas berhubung artikel yang mendakwa dia bersubahat dalam skandal 1MDB.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed dan 
penguam cara negara Zauyah T Loth.
Apandi, yang merupakan peguam negara dari Jul 2015 hingga Mei 2018, berkata Lim menulis kenyataan fitnah yang disiarkan laman Malaysiakini pada 6 Mei 2019, bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity”.

Beliau berkata artikel itu membayangkan Lim menggambarkan Apandi seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tanpa integriti, dan mengamalkan dwistandard semasa memegang jawatan peguam negara.

Artikel itu juga disiarkan dan dikongsi di WhatsApp, Twitter, Facebook, dan bentuk media sosial lain, kata Apandi.

Beliau menuntut ganti rugi umum RM10 juta dan pampasan lain iaitu ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, termasuk faedah 5%.

Pada Jan 2016, Apandi membersihkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak daripada salah laku dalam kes 1MDB dan SRC International kerana ketiadaan bukti.

Beliau berkata RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun Najib sumbangan kerabat Arab.
Pada Julai 2018, Najib didakwa atas pengubahan wang, salah guna kuasa, dan pecah amanah dalam 2 kes dan perbicaraan sedang berjalan, kira-kira 3 bulan selepas beliau tewas pada pilihan raya umum pada Mei.

No comments: