Tuesday, February 11, 2020

Bekas ADUN mohon kaveat, halang jual bangunan UMNO Selangor

Nizam Zain
Datuk Mohd Isa Abu Kasim
Ketua Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor, Datuk Mohd Isa 
Abu Kasim menunjukkan borang permohonan kaveat terhadap bangunan 
UMNO Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam, semalam.
 
KUALA LUMPUR – Mercu tanda UMNO Selangor didakwa cuba dilenyapkan sekali lagi melalui usaha penjualan bangunan yang terletak di pusat bandar Shah Alam itu dengan nilai RM40 juta.

Susulan cadangan penjualan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim telah membuat permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor itu bagi menghalang daripada dilupuskan hak milik.

Mohd Isa yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor telah membuat permohonan kaveat itu di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam semalam.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor bertindak demikian selepas mendapati mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor pada Rabu lalu membuat undian bagi penjualan bangunan itu.

“Pada mesyuarat perhubungan UMNO Selangor Rabu lepas, Pengerusi Perhubungan  Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mencadangkan untuk buat undian dalam kalangan ketua bahagian yang datang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Datuk Mohd Isa Abu Kasim
Ketua Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor, Datuk 
Mohd Isa Abu Kasim selepas menghantar borang permohonan 
kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor di Pejabat Daerah 
dan Tanah Petaling, Shah Alam, semalam.
Pada 18 Disember tahun lalu, media melaporkan bahawa keputusan untuk menjual bangunan UMNO Selangor hanya akan diputuskan dalam mesyuarat khas yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Menurut Mat Nadzari, ketika itu, beliau mengesahkan tiada sebarang penjualan aset akan dilakukan.

Katanya, langkah menjual bangunan yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam itu hanya perbincangan di peringkat awal.

Dalam pada itu, Mohd Isa juga mendedahkan, seramai sembilan ketua bahagian tidak membuat undian penjualan bangunan itu, antaranya Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abd Aziz; Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

“Yang tidak menyokong termasuk Ketua Bahagian Kapar, Dengkil, Pandan, Ampang dan Kuala Selangor.

“Yang lain itu semua buat undian (sokong) termasuk ketua sayap UMNO Selangor, Wanita, Puteri dan Pemuda untuk dijual dengan alasan penyelenggaraan tinggi, nak baik pulih menelan kos RM15 juta dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya hanya bersetuju dengan cadangan mesyuarat badan perhubungan untuk menampung masalah kewangan UMNO Selangor ini dengan menjual aset-aset lain.

“Kita setuju Badan Perhubungan UMNO Selangor jual aset-aset lain kecuali kita kekalkan bangunan UMNO Selangor dan baik pulih yang mana amat memerlukan.

“Bila Nadzari beria teruskan undian, ramai lagi ahli UMNO tak berpuas hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

No comments: