Thursday, January 2, 2020

Wajar Maszlee letak jawatan, ada NGO liberal jadi penasihat

fazleen safina

 

Gagal atasi isu komik komunis, sijil UEC, desakan Dong Zong dan DAP


BANGI – Sudah sepatutnya Dr Maszlee Malik melepaskan jawatan Menteri Pendidikan, dan wajar dibuat lebih awal lagi atas desakan pelbagai pihak, berikutan kegagalan menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kemas dan baik.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa berkata, Maszlee gagal dalam banyak perkara, termasuk termasuk memperkasakan pendidikan Islam dan bantuan kepada sekolah agama rakyat terus terabai.

“Beliau juga gagal membendung desakan pertubuhan pendidikan Cina seperti Dong Zong dan DAP dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), komik komunis dan tulisan jawi.

“Maszlee tidak matang apabila mencetuskan idea lucu kasut hitam, cadangan berenang di hotel dan sebagainya, dan kejatuhan ranking Pisa yang teruk diperingkat antarabangsa dalam Matematik dan Sains,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Zai berkata, punca utama kegagalan Maszlee apabila dikelilingi badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan NGO liberal DAP yang menjadi penasihat di belakang tabir.

“… sehingga idea mereka sangat tertutup kepada NGO Pendidikan yang lain, yang berada di luar untuk memberikan cadangan bagi memperkasakan pendidikan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd berharap supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memangku KPM dan terus memperkasakan pendidikan kebangsaan.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi menghadapi tekanan daripada NGO Pendidikan Cina seperti Pertubuhan Dong Zong, yang membawa ideologi komunis.

“Juga diharapkan PM terus memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara, mengembalikan geran perkapita sekolah agama rakyat (SAR) yang dihentikan pada 2003 selain menolak pelaksanaan UEC sepenuhnya.

“Kami juga berharap sekolah vernakular dihapuskan dan diserap menjadi sekolah kebangsaan bagi mencapai perpaduan kaum di negara ini, melalui pembelajaran satu bumbung, guru yang sama, kurikulum kebangsaan yang sama dan peperiksaan yang sama,” katanya.

Terdahulu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan selepas 20 bulan mengemudi KPM.

Menerusi satu sidang media khas hari ini, beliau mengakui kementeriannya sering menjadi tumpuan dengan pelbagai kontroversi sehingga menimbulkan krisis kepada kepimpinan kerajaan.

Bagaimanapun, Maszlee percaya, beliau telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas dengan segala inisiatif dan usaha-usaha mereformasi pendidikan.


No comments: