Thursday, January 2, 2020

Tangguh subsidi petrol: PH gopoh, akhirnya makan diri - Siti Zailah

MALAYSIAKINI



Penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP) menunjukkan bagaimana kegopohan kerajaan PH akhirnya memakan diri, kata Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurutnya, penangguhan yang diumumkan semalam itu menyebabkan impian golongan B40 dan M40 untuk menikmati subsidi itu tahun ini, akhirnya dikecewakan.

“Pengumuman itu juga menunjukkan kegopohan Kerajaan PH akhirnya memakan diri. Ketika mekanisme pelaksanaannya masih kabur untuk diberi kepada golongan sasar, PH pula dilihat terlalu ghairah kononnya bagi merealisasikan Manifesto PH.

“Akibatnya tersasar, lalu impian golongan B40 dan M40 tidak ubah seperti cuba digula-gulakan sahaja. Kedatangan Tahun Baru 2020 tidak menggembirakan, tapi dikecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion yang sepatutnya berkuat kuasa tahun ini, bagi memberi manfaat kepada lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40, selaras dengan manifesto PH.

Dalam pelaksanaan PSP, mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 sepatutnya diapungkan, berbeza dengan pengiraan harga petrol sedia ada yang mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dengan harga runcit produk petrol RON95 dan diesel masing-masing ditetapkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.
Mengulas lanjut, kata Siti Zailah, PH sepatutnya menyediakan rangka yang matang, dan bukan ad-hoc semata-mata demi meraih kepentingan politik.

Beliau turut mengimbau bagaimana PH pernah “teruja berlebihan” apabila menguar-uarkan kunjungan ke portal rasmi PSP mencapai 3.7 juta pelayar pada awal November, sedangkan perbahasan mengenai PSP hanya berlangsung di Dewan Rakyat pertengahan November lalu.

Malah, tambahnya, ini bukanlah kali pertama kejadian seumpanya, dan dakwanya lagi, PH sememangnya “masyhur” dengan pusingan U dalam pelaksanaan dasarnya dan mengumumkan sesuatu tanpa kajian terperinci.

“Jelas ini petunjuk betapa ia hanyalah projek politik yang tidak mendapat nasihat sewajarnya,” katanya lagi.

Siti Zailah turut mendakwa pemberian RM30 sebulan sebenarnya tidak cukup daripada penggunaan petrol sebenar, dan mempersoalkan ketelusan dan motif PSP, dan apakah rakyat dan kerajaan benar-benar akan mendapat keuntungan secara bersasar menerusi program tersebut.

“Atau sebenarnya tersasar apabila GHL Systems Bhd yang memenangi tender membangunkan sistem, dipengerusikan individu sama dari Great Eastern Takaful Berhad; pengendali Skim MySalam di bawah Kementerian Kewangan?

“PH diingat supaya tidak bermain silap mata, rakyat menunggu masa membongkarnya,” katanya lagi memberi peringatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini dilaporkan berkata penangguhan PSP adalah kerana kerajaan bimbang pengapungan harga petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang akan secara langsung memberi impak kepada rakyat khususnya golongan B40.

“Itu yang kita nak bincang kerana apabila pengapungan, harga minyak dijangka naik," katanya.

Malah katanya, bukan sahaja pengguna atau rakyat biasa tetapi kalangan ahli perniagaan juga menzahirkan kebimbangan tentang kesan daripada pengapungan harga minyak, sungguhpun satu atau dua sen seminggu.


No comments: