Friday, January 3, 2020

Siapa ganti Maszlee? Kita tunggu ‘game’ Dr Mahathir

Haji Aminuddin Yahaya

 

Menteri-menteri lain kena ambil iktibar, bertanggungjawab pada rakyat


SELURUH negara terkejut dengan peletakkan jawatan YB Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan walaupun banyak pihak sebelum ini yang menuntut beliau meletakkan jawatan tetapi tidak berjaya.

Namun ketiadaan apa-apa indikator atau ‘hint’ menyebabkan rakyat terkejut terutama hari ini adalah hari pertama persekolahan.

Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir tetapi peletakan ini menimbulkan pelbagai spekulasi termasuklah adakah ianya hasil desakan pihak tertentu yang tidak mendapat apa yang diingini dan sebagainya.

Saya yakin Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah seorang yang mudah menerima desakan mana-mana pihak apatah lagi ia membabitkan ahli partinya sendiri.

Dalam masa yang sama, Dr Mahathir juga mungkin tertekan dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); dari kasut hitam, UEC hinggalah ke tulisan jawi. 

Saya percaya pelbagai kritikan dari rakyat pelbagai lapisan mempengaruhi pandangan dan keputusan Dr Mahathir ini juga.

Tanpa menafikan kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh YB Dr Maszlee, namun kita harus menerima hakikat bahawa beliau kerap kali dilihat seolah-olah ‘didominasi’ oleh timbalannya terutama yang berkenaan dengan UEC. Ini membimbangkan ramai pihak terutamanya orang-orang Melayu.

Dari kenyataan beliau, jelas peletakan jawatannya itu dibuat bukan dengan kerelaannya sendiri tetapi di minta oleh Dr Mahathir sendiri.

Apakah alasan Tun? Tidak ada sesiapa yang tahu. Namun saya yakin ia bukan sesuatu perkara yang mudah kerana Dr Maszlee adalah dari parti Bersatu. Apakah Dr Mahathir berani menggunakan alasan yang sama untuk memecat pula menteri-menteri dari DAP atau mana-mana parti komponen Pakatan Haapan (PH) yang lain untuk letak jawatan juga?

Siapakah yg akan menggantikan Dr Maszlee? Sejarah membuktikan tidak ada sesiapa yang boleh membaca ‘GAME’ Dr Mahathir.

Apa-apa pun, saya yakin Dr Maszlee tidak akan dibiarkan tergapai-gapai begitu saja tetapi pasti akan ada ‘imbuhan’ akan diberikan. Mungkin menjadi VC (Naib Canselor) di mana-mana universiti? Saya tidak bercadang untuk membuat apa-apa spekulasi.

Moga apa yang berlaku kepada Dr Maszlee menjadi pengajaran kepada menteri-menteri lain supaya tidak melihat jawatan sebagai ‘hadiah’ tetapi tanggungjawab kpd rakyat dan negara.

Moga Allah SWT memberikan kesabaran kepada Dr Maszlee dan kembali menjadi wakil rakyat biasa dengan penuh ketenangan. Insya-Allah.

*Haji Aminuddin Yahaya - Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA


No comments: