Saturday, January 25, 2020

Segera siasat `warlord’ arak di negara ini

fazleen safina

 

Hadap mereka ke muka pengadilan, termasuk golongan menjadi `barua'

BANGI – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam menyiasat siapakah ‘warlord’ atau pun dalang yang wujud di sebalik penjualan arak secara berleluasa di negara ini.

Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tindakan drastik perlu diambik terhadap mereka termasuk ‘barua’ yang terdiri dalam kalangan ahli politik serta anggota polis sendiri.

“Larangan yang lebih keras juga harus dilaksanakan kepada orang-orang Islam. Cukai yang tinggi perlu dikenakan ke atas penjualan arak.

“Pihak penguatkuasa wajib membuat serbuan ke premis-premis yang menjual arak secara haram.

“Acara atau majlis minum secara terbuka seperti Oktober Fest mesti diharamkan kerana ianya memberikan galakan kepada peminum dan menormalisasikan budaya meminum arak dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya akta sedia ada dipinda bagi memberi hukuman lebih berat dan setimpal terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk meminda undang-undang itu di Parlimen.

Menurutnya, denda sekarang terlalu rendah iaitu maksimum RM300 dan polis berharap ia dapat disemak semula untuk hukuman yang lebih berat.

“Kita cadangkan mungkin dari RM1,000 hingga RM5,000 denda dikenakan kepada pemandu yang didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

“Di peringkat kita (PDRM) akan berbincang dari sudut perundangan dan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan cadangan itu,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, cadangan untuk menaikkan denda terhadap pemandu mabuk kepada RM5,000 tidak mampu menyelesaikan masalah.

“Kerajaan mesti menguatkuasakan hukuman atau denda yang lebih berat kerana banyak kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa telah berlaku,” tegasnya.


No comments: