Friday, January 24, 2020

RM32, 962 disita dari UMNO Kelantan kini milik kerajaan

Kasthuri Jeevendran
 courtdecision




KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini telah memutuskan wang bernilai RM32,962.87 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan kini sah menjadi hak milik kerajaan.

Wang tersebut telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam penghakimannya sebentar tadi telah membenarkan pendakwa raya melucut hak harta berkenaan kepada kerajaan.

Kata Ahmad Shahrir, pihak pendakwa berjaya membuktikan pendakwaan mereka bahawa wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Pihak pendakwaan selaku pemohon telah membuat permohonan melucut hak wang dalam akaun semasa milik Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang merupakan responden dalam permohonan itu mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini dilaporkan berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) setelah suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. -MalaysiaGazette

No comments: