Friday, January 24, 2020

NGO akui Putrajaya, Jakoa pinggir Orang Asli

Peka mendakwa pelan yang dirangka Putrajaya bagi menangan
isu dihadapi Orang Asli diibaratkan ‘bermimpi di siang hari’.

PETALING JAYA: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) setuju dengan kenyataan bahawa Putrajaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal melaksanakan aspirasi dalam membangunkan Orang Asli.

Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata beliau melihat sendiri betapa susahnya Orang Asli terutamanya dalam mendapatkan air bersih.

“Selain dari hutan mereka banyak yang musnah, kehidupan dan rezeki mereka sangat terjejas. Saya lihat ramai kanak-kanak yang tidak cukup zat.

“Dengan pembalakan yang sangat teruk dan tidak kesudahan akan bertambah lagi azab mereka. Yang akhirnya kita yang berada di bandar akan mengalami mala petaka,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata, Pelan Strategik Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang dirangka Putrajaya sejak tahun lalu bagi menangani isu utama dihadapi masyarakat Orang Asli diibaratkan “bermimpi di siang hari”.

Ramli berkata, beliau menerima aduan daripada pengusaha pengangkutan bas sekolah di perkampungan Orang Asli Pos Terisu, Cameron Highlands yang tidak dibayar perkhidmatan selama 6 bulan.

Katanya, perkhidmatan tersebut terpaksa ditamatkan pengusaha, mengakibatkan anak Orang Asli tidak dapat ke sekolah.

Malah katanya, sehingga kini masalah pembayaran perkhidmatan itu masih dibuat di beberapa daerah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Juli Edo enggan mengulas berhubung kenyataan Ramli itu.

No comments: