KAMARUZAMAN MOHAMAD
Antara sinar Muafakat Nasional dan Pakatan Harapan yang suram
TAHUN 2019 adalah tahun yang penting dan kritikal buat Pakatan Harapan dalam menerajui kepimpinan negara. Selepas dua tahun memerintah, pastinya tidak ada lagi belas ihsan dan simpati oleh rakyat jika Kerajaan PH masih lagi gagal menguruskan negara dengan baik.
Berikut dicoretkan beberapa ragam Kerajaan PH sepanjang tahun 2019:
1. PH gagal tunaikan manifesto
Kerajaan PH hanya menanam tebu di tepi bibir apabila tidak menunaikan janji manifesto antaranya menghapuskan tol, mansuhkan PTPTN, harga minyak, nasib peneroka FELDA, sejuta peluang pekerjaan, gaji minima dan pelbagai lagi. Bahkan bagi menutup kesalahan mereka, pemimpin PH menyatakan bahawa manifesto bukan kitab suci.
2. PH ada hubungan dengan kumpulan pengganas
Keterlibatan pemimpin PH yang secara terbuka dan berani mempromosi kumpulan-kumpulan pengganas seperti LTTE dan Komunis. Contohnya perhimpunan memperingati pejuang Komunis yang diadakan di Kajang turut dihadiri pemimpin DAP serta abu mayat Chin Peng ditaburkan di Malaysia.
3. Kerajaan PH kerajaan ‘u-turn’
Sarkastik yang digelarkan kepada Kerajaan PH sebagai kerajaan ‘u-turn’ saya kira ada benarnya. Lihat sahajalah bagaimana ‘flip-flop’nya kerajaan apabila sering menukar-nukar pendirian berhubung sesuatu isu. Ia seolah tidak wujud satu persefahaman antara parti-parti komponen dalam PH. Contohnya isu gaji minimum, isu had gaji bagi penangguhan pembayaran PTPTN, isu IPCMC, isu subsidi petrol dan isu GST.
4. PH gagal bendung penghinaan terhadap Bendera Malaysia
Negara dikejutkan dengan siri-siri kebiadaban yang dilakukan terhadap bendera Malaysia. Bermula dengan bendera terbalik kemudian bendera hitam putih, bendera bintang lima bucu diikuti tidak menghormati lagu Negaraku dan nyanyian Negaraku versi Mandarin. Kejadian-kejadian berikut seperti terancang dengan teliti. Perkara ini jelas melanggar Rukun Negara dan pengkhiatnatan kepada negara. Tidak boleh diterima lagi hanya permohonan maaf. Sudah tiba masanya penguatkuasaan undang-undang terhadap salah laku seperti ini dan perlu ditangani segera.
5. PH polemikkan isu tulisan Jawi
Sejak tahun 70-an lagi tulisan Jawi telah digunapakai dalam urusan pentadbiran, pembelajaran dan urusan seharian. Namun, sekali lagi pertubuhan ekstrem Dong Zong dan SEKAT mempolemikkan isu ini. Mereka menggunakan alasan Islamisasi, sedangkan ia memang tidak berasas dan sengaja ditimbulkan seolah-olah seluruh buku teks dipenuhi tulisan Jawi. Pertembungan antara Kementerian dan pertubuhan seperti inilah yang memberi kesan terhadap silibus pembelajaran. Akhirnya, para pelajar menjadi mangsa. Seharusnya, perkara ini tidak menjadi isu dan sepatutnya Dong Zong dan SEKAT menghormati perlembagaan dan kaum majoriti negara ini
6. PH gagal pertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Sebanyak 9 kali PRK telah diadakan sejak PRU14 melihatkan 5 kemenangan PH manakala 4 kerusi berpihak pembangkang. Selain daripada kegagalan PH menunaikan janji manifesto, kerjasama Muafakat Nasional menjadi antara faktor utama pengalihan pengundi. Ia dapat dibuktikan kemenangan berturut-turut calon pembangkang dalam PRK. Kerjasama politik ini akan terus menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dan bakal menerajui kerajaan pada PRU ke-15.
7. Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera
Selama 60 tahun berseteru, dua parti politik Melayu Islam terbesar negara, PAS dan Umno disatukan dengan memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 November 2019. Kerjasama politik yang dijalinkan mendapat sambutan luar biasa daripada akar umbi dengan kehadiran melimpah ruah di segenap ruang PWTC. Sifat keterbukaan PAS yang ingin melihat kedaulatan Islam, jaminan perlembagaan dan Institusi Diraja terpelihara menatijahkan penyatuan ini. Begitu juga semangat setia kawan dan berpegang pada janji yang ada pada PAS, meyakinkan Umno untuk menjalinkan kerjasama bagi membina negara sejahtera.
Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah di atas kejayaan jentera penerangan di semua peringkat dalam membina gelombang terutamanya dalam menghadapi anasir-anasir yang menggugat keharmonian negara. Saya percaya tahun depan lebih mencabar dengan tekanan perebutan jawatan-jawatan dalam Kabinet Kerajaan PH. Seharusnya, semua ahli PAS berganding bahu memainkan peranan sebagai ejen penerangan dan menjadi wartawan rakyat yang membawa suara dan keputusan-keputusan parti.
Saya berharap seluruh rakyat Malaysia ambil peduli isu-isu negara dan berusaha memahami perjuangan Islam serta bersama menyokong Muafakat Nasional.
Selamat Tahun Baharu 2020.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera”
KAMARUZAMAN MOHAMAD - Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
– HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment