KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberi amaran kepada kumpulan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar menghentikan bantahan terhadap pengenalan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular.
Jika tidak, Presiden Saifullah Baiduri berkata Gamis akan mengerakkan mahasiswa seluruh negara menggesa Dong Zong diharamkan.
“Hentikan perbuatan kalian. Sekiranya kalian teruskan kami tak akan teragak-agak menggerakkan seluruh mahasiswa dan anak muda untuk turut berhimpun dengan seluruh NGO dan rakyat.
“Kami akan buat gelombang dari semasa ke semasa supaya Dong Zong diharamkan, dihapuskan hingga dilenyapkan dari muka bumi ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pertahan Jawi, Haramkan Dong Zong berdekatan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.
Sebelum ini, Dong Zong merancang suatu persidangan tertutup di Kajang bulan lalu bagi membincangkan isu pengenalan Jawi namun dibatalkan atas perintah mahkamah.
Polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.
Hasrat penganjuran sidang itu dikritik pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang bimbang ia akan mengundant tindak balas daripada kumpulan lain.
Saifullah berkata Gamis juga mempertimbangkan memorandum kepada raja-raja Melayu sekiranya Dong Zong terus membantah pengenalan Jawi.
“Siapa pun belakang kalian dan siapa pun kalian, sila hormati perpaduan negara. Kita semua cintakan negara,” katanya, disambut sorakan orang ramai.
Sementara itu, pada sidang media selepas tunjuk perasaan petang tadi, Saifullah berkata Gamis akan hentikan desakan sekiranya Dong Zong menerima langkah kerajaan memperkenalkan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.
Himpunan hari ini menyaksikan hampir 500 peserta, kebanyakannya mahasiswa, berarak dari Masjid Jamek ke Kompleks Sogo, sambil membawa sepanduk “Haramkan Dong Zong” dan “Pertahan Warisan Bangsa”. Ia turut disertai Pemuda PAS dan Gerakan Pembela Ummah.
No comments:
Post a Comment