Wednesday, January 1, 2020

Farhash hantar notis tuntut Zuraida minta maaf




PETALING JAYA: Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menghantar notis tuntutan kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung ucapannya pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara selepas kongres nasional PKR pada 8 Dis lepas.

Notis yang dilihat FMT itu, dibuat menerusi Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, mendakwa Zuraida membuat kenyataan berunsur fitnah, merosakkan dan tidak berasas terhadapnya.

Notis itu berkata beberapa bahagian dalam ucapan Zuraida itu membawa maksud Farhash seorang “gangster”, ada “niat jenayah” dan “agenda tersembunyi”, dan “menggunakan keganasan dan taktik menakut-nakutkan” untuk mencapai matlamat.

“Anak guam kami sangat percaya kenyataan-kenyataan fitnah tersebut, dibuat oleh anda, dibuat dengan niat jahat,” kata peguamnya, Nik Zarith Nik Moustpha dalam notis itu.

“Akibat daripada kenyataan tersebut, anak guam kami mengalami kerugian dan hilang reputasi,” tambahnya.

Farhash mahu Zuraida memohon maaf tanpa syarat dalam tempoh 7 hari bermula tarikh notis dikeluarkan, iaitu 23 Dis lalu, kerana ucapan yang mengandungi dakwaan tidak berasas terhadapnya.

Ketua PKR Perak itu juga mahu Zuraida menyiarkan permohonan maaf itu di akhbar The Star dalam tempoh yang sama.

“Jika anda gagal untuk memenuhi tuntutan ini dalam tempoh masa ditetapkan, kami diarahkan untuk meneruskan tindakan undang-undang, yang mana anda boleh dikenakan ganti rugi, kos, faedah, injunksi dan sebarang perintah ansiliari yang mungkin diperintahkan mahkamah,” katanya.

Nik Zarith ketika dihubungi mengesahkan notis tuntutan itu dan memaklumkan pihaknya belum menerima apa-apa jawapan daripada Zuraida.

“Surat itu mungkin sampai lambat kepada Zuraida. Kita berikan masa yang sesuai,” katanya.

Sebuah majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”, menyaksikan Zuraida menyampaikan ucapan berapi-api dan menempelak beberapa individu dalam PKR.

Majlis makan malam itu diadakan selepas kongres nasional tahunan PKR, yang berlangsung ditengah-tengah perselisihan antara Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Anwar dan dicemari kejadian pegaduhan dan rasa tidak puas hati Azmin dan sekutu terhadap kandungan ucapan perwakilan.

No comments: