Saturday, January 4, 2020

Calon Warisan yakin menang PRK Kimanis

KOW GAH CHIE & HASPAIZI ZAIN




PRK KIMANIS | Calon Warisan, Karim Bujang berkata beliau yakin akan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang dijadual pada 18 Jan.

"Saya fikir peluang untuk Warisan adalah baik," katanya kepada media selepas  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pencalonannya secara rasmi pada penamaan calon hari ini.

"Perasaan saya adalah kita akan menang tapi sekali lagi kita tidak boleh mengambil mudah dan kita tidak boleh terlalu berpuas hati," katanya.

Karim (gambar atas), yang merupakan Adun Bongawan selama lima penggal di bawah pentadbiran Usno dan BN akan dicabar calon BN, Mohamad Alamin, yang juga bekas Adun Bongawan.

"Ia akan menjadi pertandingan persahabatan, tanpa keganasan dan pelanggaran (peraturan dan undang-undang). Ia akan jadi pertandingan gentlement, kita akan biarkan rakyat buat keputusan," kata Karim.

Karim diberi peluang kedua oleh partinya untuk bertanding di kerusi Kimanis.

Ketua Menteri Sabah dan Presiden Warisan, Shafie Apdal membuat keputusan itu selepas mengambil kira bahawa Karim merupakan  individu yang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Anifah Aman, bekas anggota parlimen Kimanis.

Difahamkan, Ketua Bersatu bahagian Kimanis dan Adun Bongawan, Daud Yusof dari Warisan juga ingin bertanding merebut kerusi tersebut.

Berhubung kenyataan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin yang mengatakan Anifah akan menyokong calon BN dalam tempoh berkempen selama 14 hari itu, Karim berkata sesiapa sahaja bebas untuk memberi sokongan kepada mana-mana calon.

Bagaimanapun, beliau menafikan akar umbi Warisan bimbang bahawa parti itu mungkin mengalami kekalahan.

"Warisan tidak takut sesiapa pun," katanya ketika ditanya sama ada parti itu bimbang selepas Anifah dan BN berjaya memujuk semua parti pembangkang di Sabah untuk tidak bertanding dalam PRK itu bagi mengelakkan perpecahan undi.


No comments: