Friday, January 3, 2020

Bukan Maszlee, 'sedozen' menteri lain lebih layak letak jawatan - Khairy

Astro Awani
Bukan Maszlee, 'sedozen' menteri lain lebih layak letak jawatan - Khairy
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin meninggalkan komen pada gambar Dr Maszlee Malik yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan. Foto - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa terdapat menteri lain yang lebih layak meletak jawatan berbanding Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa mulai Jumaat.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu meninggalkan komen pada gambar Maszlee di Instagram yang mengumumkan peletakan jawatannya semalam.

Komen Khairy menyatakan: “Kamu memegang portfolio paling mencabar dalam kerajaan dan ia mustahil untuk lihat perubahan drastik dalam tempoh kurang dua tahun.

“Saya boleh fikirkan sedozen lagi menteri lain yang lebih layak melakukan demikian. Saya dengar kamu cukup digemari oleh para guru dan telah memperkenalkan banyak perubahan yang cukup bermakna.
 
“Saya ucapkan yang terbaik kepada kamu, Dr Maszlee. Roda kehidupan selalu berputar. Chin up.”

Instagram Maszlee Malik
Instagram Maszlee Malik
 
Susulan pengumuman Maszlee, satu petisyen mendesak agar beliau dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan yang setakat jam 1 tengahari Jumaat, telah mendapat 320,900 tandatangan daripada sasaran 500,000.

BACA: 'Atas nasihat Ayahanda Tun M, saya letak jawatan Menteri Pendidikan' - Maszlee

BACA: Petisyen desak Maszlee dikekalkan dapat sambutan

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan terpalit dengan pelbagai kontroversi antaranya pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah vernakular sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk isu sarapan percuma kepada pelajar sekolah.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, kontroversi tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada kemuncak kepada peletakan jawatan Maszlee.

Kata Maszlee dalam sidang media pada Khamis, "Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

"Isu krisis dan kontroversi lebih menjadi perhatian media berbanding kejayaan yang telah dilakar Kementerian Pendidikan sebelum ini", katanya lagi. 
 
 

No comments: