Wednesday, January 1, 2020

87 lagi warga China ditahan buat skim pelaburan, perjudian

fazleen safina

 

 Suspek tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa di Malaysia


SERDANG – Jabatan Imigresen membuka tirai hari pertama tahun baharu dengan menahan seramai 87 warga China dalam serbuan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong, di sini, hari ini, kerana dipercayai menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 79 lelaki dan lapan wanita yang antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, serta menetap lebih masa di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka disyaki menjalankan kegiatan itu berdasarkan penemuan skrin-skrin komputer yang memaparkan skim pelaburan seperti ‘Forex’ dan ‘Cryptocurrency’.

Beliau berkata, premis-premis yang diserbu turut dijadikan pusat untuk melatih pekerja mengenai cara mendekati pelanggan melalui aplikasi dalam talian.

“Hasil siasatan mendapati mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu pada kira-kira sebulan lepas dan terdapat perbualan dalam talian yang menunjukkan pelanggan ditipu dan mengalami kerugian daripada pelaburan yang ditawarkan mereka,” katanya kepada pemberita, selepas operasi di lokasi serbuan, di sini.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi yang dijalankan sindiket berkenaan telah bertukar iaitu daripada menyewa bangunan komersial yang besar dan menggunakan komputer kepada menyewa rumah-rumah kediaman seperti kondominium.

“Unit-unit kediaman ini juga dijadikan pusat operasi yang dilengkapi dengan kemudahan komputer riba dan kemudahan talian internet,” katanya.

“Kesemua suspek yang berusia 21 hingga 36 tahun itu direman selama 14 hari bermula hari ini dan sindiket berkenaan juga turut membeli kira-kira 800 kad sim yang dianggarkan bernilai RM24,000 di premis-premis sekitar bangunan ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut, manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959,” katanya.

Operasi berkenaan disertai kira-kira 160 pegawai dan anggota imigresen termasuk agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam operasi yang bermula pada 11.30 pagi tadi. -Bernama


No comments: