Sunday, July 7, 2019

Usah jadi petualang hancurkan masa depan politik Melayu

ainulillia 

 

Khalil pula ajak Bersatu bersama PAS-UMNO demi agenda ummah

BANGI – PAS menolak saranan Tun Dr Mahathir Mohamad agar kesemua parti Melayu bersatu di bawah Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Ahli Jawatankuasa PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan cadangan pengerusi Bersatu yang juga perdana menteri sebagai lapuk dan ketinggalan arus perdana.

Sebaliknya, beliau mengajak Tun Dr Mahathir dan Bersatu untuk bersama dengan PAS dan UMNO dalam agenda muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan masa kini.

Khalil menegaskan, PAS dan UMNO sudah pun memulakan agenda perpaduan ummah yang lebih besar matlamatnya dari hanya mahu menyelamatkan kroni dan legasi. 

“Muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan bukan ideologi ataupun agenda sempit politik perkauman yang seperti di hebohkan. Ia untuk mengangkat martabat dan politik orang Melayu di tempat yang sepatutnya sesuai dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan tanpa pinggirkan mana-mana kaum mahupun agama. 

“Ia juga bertujuan untuk memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan juga kedaulatan Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang dan tonggak negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah Bersatu demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah.

Perdana menteri berkata, setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Mengakui bersetuju dengan kenyataan bahawa orang Melayu sudah berpecah dan berkecamuk, namun katanya, perpecahan bertambah buruk dengan wujudnya satu lagi parti politik orang Melayu lalu menjadikan terlalu banyak parti politik untuk bangsa ini.

“Dengan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu, fokus dan agenda untuk orang Melayu sudah berkecamuk dan hanya untuk kepentingan segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.

“Oleh itu saya menyeru Tun Dr Mahathir dan semua orang Melayu agar bersama-sama PAS dan UMNO dalam agenda perpaduan ummah. 

“Cukup–cukuplah dengan apa yang telah berlaku, ianya jelas tidak menguntungkan sesiapa. Umpama pepatah Melayu ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’. Jangan jadikan diri kita sendiri ‘petualang’ yang menghancurkan masa depan dan kesinambungan politik orang Melayu,” katanya.


No comments: