Monday, July 1, 2019

UMNO Kelantan sambut baik Zahid kembali terajui parti

Manzaidi Mohd Amin
Ahmad Jazlan Yaakob
Ahmad Jazlan Yaakob

KUALA LUMPUR – Seluruh kepimpinan UMNO peringkat akar umbi di Kelantan menyambut baik keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menerajui parti.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, keputusan dibuat Presiden parti itu amat tepat demi kepentingan parti.

“Kami sudah lama mengharapkan Ahmad Zahid kembali mengetuai UMNO dan pada masa sama kami mengucapkan terima kasih kepada Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hassan) kerana menjalankan tugas Presiden dengan baik dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian Ahmad Zahid semalam yang mengumumkan menamatkan percutiannya dan meneruskan semula tugas sebagai Presiden UMNO.

“Hari ini 30 Jun 2019, saya ingin umum saya menamatkan cuti saya. Ini bererti bahawa mulai hari ini saya terus sambung tugas saya sebagai Presiden UMNO,” kata Ahmad Zahid Ketika berucap pada Jamuan Hari Raya di Bagan Datuk, Perak.

Menurut Ahmad Jazlan, UMNO Kelantan yakin kepimpinan yang ada sekarang tidak akan berundur, malah yang bersifat pengecut dan tidak berdaya tahan sudah lama tidak bersama parti lagi.

Ditanya berhubung kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan dengan puluhan tuduhan, beliau berkata, sebagai ahli UMNO jangan cepat membuat keputusan.

Katanya, sekiranya keputusan yang dibuat itu turut sama dengan pihak Pakatan harapan (PH), bererti mereka turut bersama membunuh pemimpin UMNO.

“Yang rugi adalah parti. Maka dalam soal ini solidariti kepada kepimpinan kita yang sedang didakwa, yang belum terbukti bersalah mesti kita tunjukkan.

“Kita mesti bersatu padu di kalangan kita untuk mempertahankan pemimpin kita.

“Pemimpin mereka yang ternyata bersalah pun mereka pertahankan, tapi pemimpin kita belum tentu terbukti bersalah,” katanya.

Menjawab pertanyaan ada kemungkinan keputusan Ahmad Zahid itu dibuat kerana tidak mempercayai cara kerja Tok Mad, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Macang memberitahu:

“Tidak, bagi saya Ahmad Zahid seorang yang cukup matang dalam politik. Beliau juga sedar Tok Mad dipilih melalui proses demokrasi dan kita yakin beliau akan tetap berganding dengan Tok Mad dalam memimpin parti.

“Saya juga yakin, peranan yang perlu dimainkan oleh Tok Mad akan terus diberi kepercayaan oleh Ahmad Zahid.

“Saya mengenali Ahmad Zahid, dia tidak pernah mengkhianati parti dan tidak mengkhianati rakan. Ini dia (sifat) Zahid Hamidi.”

Beliau menjelaskan, apatah lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dipilih oleh akar umbi sebagaimana Ahmad Zahid.

“Sekiranya UMNO bersatu di bawah kepimpinan ini (Ahmad Zahid-Tok Mad), parti kita akan bertambah kuat, tetapi kalau kita menjadi tukang yang mengadu domba sudah pasti parti kita akan lemah.

“Kalau karamnya parti kita, kita sendiri yang akan lemas, bukan orang lain. Jangan ingat nakhoda sahaja lemas, kita kelasi juga akan lemas. Maka kesempatan sekembalinya Ahmad Zahid untuk menerajui parti ini sepatutnya disambut baik oleh segenap ahli di semua peringkat.

“Memberi kepercayaan kepada Ahmad Zahid dan menghormati Tok Mad adalah satu perkara yang penting,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: